Translate

Monday, March 30, 2026

Kelekaan 20 minit terakhir musnahkan harapan TFC

 

NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC terpaksa membayar harga mahal akibat kelekaan dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan apabila dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin. 

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali mengakui peluang skuad Sang Penyu untuk mengulangi pencapaian musim lalu melangkah ke pentas final semakin pudar ekoran kekalahan teruk tersebut. 

"Pemain saya telah bermain baik dan mengikut perancangan dalam tempoh 70 minit permainan, begitupun dihukum disebabkan kehilangan fokus dalam 20 minit seterusnya. 

"Kita dibolosi tiga gol mudah dalam tempoh tersebut akibat kelekaan sebahagian pemain dalam mengawal lawan seperti diarahkan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini kelmarin. 

Dalam aksi tersebut, juara bertahan, JDT mudah menewaskan TFC 4-0 hasil dua jaringan Arif Aiman Hanafi serta masing-masing satu gol disumbang Romel Morales dan Bergson Da Silva. 

Badrul Afzan berkata, kegagalan anak buahnya memanfaatkan beberapa peluang terhidang juga kerugian buat skuad kendaliannya. 

Beliau berkata, bukan mudah memperolehi peluang apabila bertemu JDT yang merupakan skuad berkualiti tinggi. 

"Melawan JDT, kita tidak boleh melakukan kesilapan mudah dan perlu menjaringkan gol setiap peluang diperolehi. 

"Sayangnya beberapa peluang terhidang tidak dimanfaatkan terutama hantaran kemas (Nelson) Bonilla yang gagal disempurnakan (Manuel) Ott," katanya. 

No comments:

Post a Comment