BESUT – Seramai 5,000 penduduk merangkumi enam perkampungan di sekitar mukim Kuala Besut di sini merayu pihak berkenaan agar menaik taraf sistem saliran bagi mengatasi mengatasi isu banjir kilat yang sering berlaku terutama pada musim tengkujuh.
Kelima-lima perkampungan tersebut iaitu Kampung Kayu Kelat, Kampung Alor Peroi, Kampung Pachakan, Kampung Teluk Bayu, Kampung Geretak Seratus serta Kampung Alor Jejawi menjadi antara lokasi terawal ditenggelami banjir setiap kali tempoh Monsun Timur Laut (MTL) sejak sekian lama.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kayu Kelat, Ahmad Suazli Mohamed berkata, biarpun MTL sudah sampai ke penghujung, persediaan perlu dilakukan awal agar mukim mereka tidak terus dilanda banjir kilat pada musim tengkujuh seterusnya.
“Tiap tahun kampung kami akan kena banjir kilat dan air pasang. “Saluran semulajadi tidak mampu menampung air dalam kapasiti banyak,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Pachakan di sini baru-baru ini.
Ahmad Suazli berkata, sehubungan itu, mereka memohon pembinaan parit monsun sejauh kira-kira dua kilometer dari Kampung Tok Saboh ke Kampung Pachakan bagi mengurangkan risiko banjir kilat berkenaan.
Beliau berkata, sebuah kolam tadahan air juga dicadang dibina di tanah rezab kerajaan di Kampung Pachakan bagi tujuan sama.
“Parit monsun selebar tiga meter mampu menampung air dalam kapasiti banyak manakala kolam tadahan bertujuan menakung air bagi memberi masa sistem saliran semulajadi mengalirkan air ke laut pada musim tengkujuh,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk, Norihan Mohd. Razali, 46, berkata, sepanjang musim tengkujuh lalu, keluarga terpaksa enam kali berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir kilat.
Dia berkata, hujan tanpa henti selama 24 jam sudah cukup untuk menenggelamkan perkampungan dan sekitar.

No comments:
Post a Comment