Translate

Wednesday, November 7, 2018

Suspek tinggalkan barang peribadi selepas menyamun diburu polis

KUALA TERENGGANU – Malang buat seorang penjenayah apabila suspek bukan sahaja gagal menyamun, malah kini diburu polis selepas meninggalkan barangan peribadi di lokasi kejadian di pekarangan sebuah klinik swasta di Jalan Masjid Abidin di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pukul 7.10 pagi, 6 Oktober lalu, cubaan suspek berusia 38 tahun itu untuk menyamun seorang guru wanita gagal apabila je­ritan mangsa meminta pertolongan didengari seorang pe­ngawal keselamatan di sebuah premis berdekatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu kejadian, mangsa berusia 50 tahun yang mahu melakukan pemeriksaan kesihatan sedang menunggu klinik tersebut beroperasi.

“Sewaktu mangsa sedang menunggu di pekarangan klinik swasta terbabit tiba-tiba dia didatangi suspek yang bertopi keledar serta bersenjata pisau.

“Seorang jaga premis berhampiran yang mendengar jeritan mangsa telah memberi bantuan menyebabkan suspek melarikan diri de­ngan meninggalkan motosikal, jaket dan lesen memandu di lokasi kejadian,” katanya di sini semalam.

Suffian memberitahu, siasatan awal ke atas dokumen yang ditinggalkan suspek mendapati lelaki itu pernah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah beberapa tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, individu bernama Yusof Yahya yang beralamat terakhir di Kampung Telaga Mengkudu, Marang dan Kampung Paya Bunga di sini sedang dicari polis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment