Translate

Friday, November 16, 2018

EPIC taja kelengkapan sekolah 80 pelajar potensi tinggi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC) menaja persiapan persekolahan 80 murid dari keluarga kurang berkemampuan.

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, semua penerima bantuan merupakan pelajar berpotensi tinggi dari sekitar daerah Marang.

“Kesemua murid tersebut dari Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, SK Marang, SK Rhu Rendang dan SK Kelulut menerima sumbangan berupa pakaian seragam, kasut sekolah, alat tulis dan beg sekolah yang bernilai lebih RM500 setiap seorang.

“Program ini, yang juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat EPIC, bertujuan untuk meringankan beban keluarga pelajar terlibat dalam membuat persediaan bagi sesi persekolahan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kembali ke Sekolah di pasar raya besar Mydin Gong Badak dekat sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman.

Noor Fadzil berkata, penerima turut dibawa menonton wayang di Pawagam LFS, Paya Bunga Sentral selain menikmati sarapan di Kafe TSG Station, Ladang Tok Pelam dan makan tengah hari di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment