Translate

Sunday, November 11, 2018

Abang melutut, menangis depan adik sebelum keluar operasi

DUNGUN – “Abang berperangai pelik apabila melutut di hadapan saya sambil menangis sebelum keluar operasi. Dia mohon maaf kepada saya dan keluarga dan berpesan supaya menjaga mereka elok-elok.”

Demikian cerita Wan Muhd. Zulhakimi Wan Yahya, 20 (gambar kecil), mengenai kelakuan ganjil abangnya, Konstabel Wan Mohd. Arif, 28, yang dikhuatiri lemas bersama suspek kes samun bergelar Zul Ayam selepas terjatuh ke dalam Sungai Paka di Kampung Durian Mentangau dekat sini kelmarin.

Katanya, dia tinggal bersama abang­nya di Kuarters Balai Polis Paka di sini sejak dua tahun lalu.
“Saya terkejut apabila abang tiba-tiba melutut di hadapan saya sambil mengeluarkan air mata untuk memohon maaf dan berpesan supaya menjaga ahli ke­luarga elok-elok.
“Saya terus tergamam. Perasaan pelik akhirnya terjawab apabila rakan sekerjanya memaklumkan yang abang telah terjatuh ke dalam sungai sewaktu mengejar seorang suspek pada malam tadi (kelmarin),” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Sementara itu, isteri anggota polis berkenaan, Sharifah Murni Sayed Ab. Aziz, 27, berkata, dia sempat berbalas mesej menerusi aplikasi WhatsApp dengan suaminya beberapa minit sebelum kejadian tersebut berlaku.

“Suami kata dia sedang mengintip seorang suspek sebelum perbualan kami terhenti. Saya amat terkejut apabila dimaklumkan berhubung insiden menimpanya pada kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi (semalam).

“Saya sedang melanjutkan pelajaran di sebuah kolej kejururawatan di Kuala Terengganu dan biasanya hanya akan bersama suami pada hujung minggu. Kali terakhir kami berjumpa pada 1 November lalu,” katanya yang berkahwin pada 27 Mac 2016.

Sharifah Murni yang bakal menghadapi peperiksaan akhir semester hari ini masih mengharap keajaiban berlaku dan berdoa agar suaminya dapat ditemui secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment