Translate

Monday, November 5, 2018

Anak derhaka dipenjara 12 bulan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan derhaka seorang anak lelaki yang tergamak menendang ibu kandungnya sendiri hanya kerana tidak diberikan wang akhirnya mendapat pembalasan apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu ke atas Wan Muhammad Faizal Wan Tahar, 24, selepas tertuduh mengaku salah bagi pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditahan iaitu pada 26 September lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Muhammad Faizal didakwa mencederakan ibunya, Punisah Saibi, 50, dengan menendang belakang wanita itu di Kampung Paloh Haji Daud di sini pada pukul 8.15 malam, 24 September lalu.
Tindakan itu menyebabkan dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miki Dustan Muda manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam bela.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa telah berkunjung ke rumah ibunya untuk meminta sejumlah wang tetapi tidak ditunaikan menyebabkannya lelaki itu berang sehingga bertindak menendang belakang badan mangsa sebelum beredar keluar.

Dia kemudiannya didakwa telah datang semula ke rumah tersebut dan melepaskan kemarahan de­ngan cuba membaling sebuah tong gas ke arah ibunya namun berjaya dielak wanita itu.

Mangsa yang mengalami kece­deraan akibat ditendang tertuduh telah membuat laporan polis berhubung perbuatan kurang ajar anaknya itu di balai polis terdekat.

No comments:

Post a Comment