Translate

Sunday, November 11, 2018

Dungun mula dilanda banjir

DUNGUN – Seramai 40 individu daripada 12 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka di Kampung Seberang Pintasan di sini mula dinaiki air semalam.

Pusat pemindahan Dewan Sivik Seberang Pintasan di sini itu merupakan yang pertama dibuka di Terengganu pada musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, kawasan tersebut dilanda banjir berikutan hujan lebat lebih 24 jam sejak kelmarin.

“Mangsa banjir tersebut me­rangkumi sembilan lelaki, wanita (18) manakala bakinya kanak-kanak. Pada masa ini, hujan renyai masih turun di lokasi terbabit dan ia dijangka berlarutan sehingga esok,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, Che Adam berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan sistem amaran cuaca peringkat jingga dengan hujan lebat dijangka melanda di seluruh Terengganu sehingga hari ini.

Beliau berkata, enam kampung di Hulu Terengganu iaitu Kampung Basung, Kampung Teris, Kampung Tok Lawit, Kampung Tengkawang, Kampung Kuala Ping dan Kampung Ping serta Kampung Langkap dan Kampung Merbau Menyusut, Setiu dijangka dilanda banjir.

Tambahnya, Kampung Matang, Kampung Nibong, Kampung Paloh Nyior dan Kampung Bukit Tadok di Hulu Terengganu pula diramal dilanda bah pada pukul 11 pagi esok ekoran limpahan Sungai Telemong dan Sungai Nerus.

No comments:

Post a Comment