MOHD. AZLI ADLAN
SETIU - Banjir yang melanda Kampung Seri Bayas dekat Setiu hari ini telah menyebabkan seorang wanita sedang sarat hamil terperangkap di dalam rumahnya selepas jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan ditenggelami air bah sedalam 0.5 meter.
Siti Maisarah Merasidi, 30-an, yang sepatutnya dijadualkan melahirkan anak keempat pada Rabu lalu telah di bawa keluar oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu di sini dengan menaiki bot pada pukul 5.15 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada Hospital Setiu di sini untuk memohon bantuan menyelamatkan Siti Maisarah yang terperangkap di dalam rumahnya bersama ahli keluarga akibat banjir pada pukul 1 petang.
"Pengurusan Hospital Setiu meminta bantuan bomba untuk menghantar Siti Maisarah ke hospital kerana bakal melahirkan anak bila-bila masa. Empat anggota bomba telah dikerahkan ke rumah wanita tersebut telah terperangkap bersama ahli keluarganya di Kampung Seri Bayas.
"Dia telah dikeluarkan dari kawasan banjir dengan bot penyelamat sebelum di hantar ke hospital," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment