Translate

Friday, November 2, 2018

Nur Aisyah terima insentif RM21,000, pakej mengerjakan umrah

ATLET berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir menerima insentif kemenangan terbesar dalam kontinjen Terengganu Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 apabila meraih ganjaran RM21,000 daripada kerajaan negeri.

Tambah manis, ratu acara berbasikal lebuh raya Terengganu dari Kemaman itu turut dihadiahkan pakej mengerjakan ibadah umrah ke Tanah Suci Mekah atas kecemerlangannya memenangi tujuh pingat emas pada temasya dwitahunan tersebut baru-baru ini.

Nur Aisyah, 21, merangkul pi­ngat emas dalam acara ujian masa individu wanita 30 kilometer (km), lumba lebuh raya individu wanita 80 km, kriterium wanita 50km, scratch wanita 10km, kejar-mengejar individu wanita 3km, keirin wanita dan kejar-mengejar berpasukan wanita 4km.

Beliau berkata, penerimaan insentif tersebut akan menjadi perangsang buatnya untuk terus bekerja keras bagi mencapai matlamat meletakkan diri sebagai pelumba berbasikal bertaraf dunia suatu hari nanti.

“Saya juga terharu menerima ganjaran pakej mengerjakan umrah yang sebelum ini dijanjikan kepada atlet Terengganu yang menjadi Olahragawan dan Olahragawati terbaik Sukma Perak 2018 sahaja.

“Ia sekali gus merealisasikan impian saya selama ini untuk membawa ibu bapa ke Tanah Suci. Terima kasih kepada kerajaan negeri, jurulatih, pengurusan Persatuan Lumba Basikal Terengganu dan rakan sepelatih yang banyak membantu,” katanya selepas menerima ganjaran itu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu kelmarin.

Insentif tersebut disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Nur Aisyah yang merupakan atlet pelapis berbasikal kebangsaan me­nyasarkan untuk layak secara merit ke Sukan SEA Filipina tahun depan.

Selain Nur Aisyah, atlet pecut kebangsaan, Azreen Nabila Alias turut menerima ganjaran pakej mengerjakan ibadah umrah atas kejayaannya muncul Olahragawati Terbaik Sukma Perak 2018.

Azreen Nabila yang berasal dari Setiu juga menerima insentif wang tunai RM10,000 atas kecemerla­ngannya meraih tiga pingat emas termasuk memecahkan rekod kejohanan bagi acara pecut 100 meter wanita.

No comments:

Post a Comment