Translate

Tuesday, November 6, 2018

MAIDAM sumbangkan katil pesakit kanser kanak-kanak di HSNZ

SKIM Wakaf Tunai Terengganu (WTT) telah diperkenalkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sejak 11 tahun lalu.

Pelancaran skim WTT pada 27 Disember 2007 tersebut merupakan inisiatif MAIDAM bagi memudahkan orang Islam terutama yang menetap di Terengganu untuk melakukan amalan wakaf.

Ia selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-77 pada April 2007 yang memutuskan berwakaf dalam bentuk wang tunai dibolehkan dalam Islam.

Skim WTT telah berjaya mengumpul aset wakaf berjumlah lebih RM2 juta dari seluruh Terengganu sejak haripelancarannya.

Orang ramai boleh beramal menerusi skim WTT menerusi potongan gaji, perbankan Internet, Jompay menerusi biller kod 34116, sumbangan di kaunter MAIDAM dan tabung-tabung yang disediakan di pusat zakat dan Ar-Rahnu MAIDAM di setiap daerah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan semua pejabat agama daerah.

Kesemua kutipan wang tunai menerusi skim WTT tersebut akan ditukar kepada aset bersifat kekal seperti disyaratkan oleh prinsip wakaf iaitu harta yang diwakafkan mestilah bersifat 'muabbad' (kekal) dan tidak boleh habis.

Oleh itu, MAIDAM selaku pemegang amanah tunggal wakaf bertanggungjawab bagi menukar dana yang terkumpul dengan membeli atau membangunkan aset-aset wakaf yang mendatangkan hasil.

Sebanyak 60 peratus daripada hasil yang diperoleh dari aset wakaf terbabit pula disalurkan untuk tiga sektor iaitu sosial, pendidikan dan agama.

Ia merangkumi bantuan kepada fakir miskin, bantuan kesihatan dan perubatan, bantuan pendidikan dan pembinaan masjid dan surau serta penajaan aktiviti keagamaan.

Satu satu daripada inisiataf MAIDAM bagi penyaluran hasil wakaf tunai berkenaan untuk manfaat masyarakat ialah penyerahan tiga katil pesakit kanak-kanak kepada Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu baru-baru ini.
Timbalan Pengarah HSNZ, Dr. Mohamad Yurzi Mat Rani @ Ghani berkata, kesemua katil pesakit yang bernilai RM8,332.29 tersebut telah diterima daripada MAIDAM pada 27 Ogos lalu.

Beliau berkata, tiga katil pesakit itu dikhas untuk pesakit kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun yang menghidap penyakit kanser.

"Saya difahamkan kesemua katil pesakit yang berfungsi boleh laras dan berpagar besi terbabit telah ditempah khas oleh MAIDAM.

"Pagar besi yang mengelilingi katil pesakit berkenaan juga lebih tinggi daripada biasa bagi menjamin keselamatan pesakit kanser dalam kalangan bayi dan kanak-kanak itu yang masih kecil," katanya ketika ditemui di HSNZ, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Mohamad Yurzi berkata, ciri-ciri khas katil pesakit tersebut juga memudahkan keluarga atau penjaga pesakit kanak-kanak terbabit meninggalkan anak mereka sebentaruntuk pelbagai urusan seperti menunaikan solat.

Menurut beliau, ketiga-tiga katil yang disumbangkan menerusi skim WTT terbabit kini ditempatkan di Wad 5D yang menempatkan pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

"MAIDAM memberitahu katil kanak-kanak bagi pesakit kanser yang disumbang menggunakan sumbangan wakaf tunai terbabit untuk kegunaan semua tanpa tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang keluarga.

"Pengurusan HSNZ memang mengalu-alukan sumbangan MAIDAM tersebut untuk meningkatkan lagi fasiliti hospital ini bagi membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat," ujarnya.

Mohamad Yurzi memberitahu, sebelum ini, wad yang dihuni pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak cuma mempunyai 12 katil.

Beliau memberitahu, pengurusan HSNZ amat berterima kasih atas sumbangan MAIDAM yang sedikit sebanyak telah membantu meningkatkan kemudahan di wad terbabit.

"Kemudahan di Wad 5D sememangnya perlu ditingkatkan berikutan peningkatan pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak sejak akhir-akhir ini.

"Kebanyakan pesakit kanak-kanak yang dirawat terbabit menghidap penyakit kanser darah (leukemia)," katanya.

No comments:

Post a Comment