Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Gara-gara mencuri sebuah tong silinder gas petroleum cecair (LPG) dan dua kampit beras milik isterinya pada minggu lalu, seorang buruh dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Mohd. Rizal Moharapi, 34, yang berasal dari Seberang Takir, Kuala Nerus membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa, Asisten Superintendan L. Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Rizal didakwa mencuri sebuah tong gas jenama Petronas dan dua kampit beras milik isterinya, Suzilawati Ja'afar, 32, di rumah wanita itu di Taman Batin Perdana, Kuala Nerus pada 15 November lalu.
Tertuduh kemudiannya didakwa telah menjual dua barangan curi itu di sebuah kedai runcit berhampiran dengan harga RM100.
Mohd. Rizal didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment