Translate

Wednesday, November 14, 2018

Kaki kanan diikat batu pemberat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Dua pemancing ikan terkejut dengan penemuan satu mayat lelaki dengan keadaan kaki kanan terikat dengan batu pemberat di pantai Teluk Rotan di Pulau Redang, Kuala Nerus kelmarin.

Kedua-dua lelaki itu menemui mayat yang terapung tersebut pada pukul 7.15 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, sewaktu ditemui mayat lelaki itu didapati dalam keadaan tidak sempurna dan sudah mereput.
"Penemuan mayat terbabit kemudiannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum anggota polis dari Balai Polis Pulau Redang telah bergegas ke lokasi kejadian.

"Mayat lelaki yang ditemui terapung dalam keadaan tertiarap berhampiran tepi pantai Teluk Rotan itu memakai baju T putih dan berseluar panjang berwarna biru," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Jarak Pulau Redang dengan Jeti Shahbandar di sini adalah 30 kilometer nautika dan perjalanan dengan bot biasanya mengambil masa kira-kira 75 minit.

Batu pemberat merupakan antara aksesori memancing yang biasanya diperbuat daripada timah serta didatangkan dalam pelbagai saiz bermula daripada 150 miligram sehingga satu kilogram.
Suffian memberitahu pemeriksaan juga mendapati kaki kanan mayat lelaki itu telah diikat dengan batu pemberat.

Menurut beliau, identiti mangsa masih belum diketahui kerana dokumen pengenalan diri gagal ditemui.

"Mayat lelaki tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan. Orang awam yang kehilangan ahli keluarga dan kenalan serta mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran," katanya.

No comments:

Post a Comment