Translate

Monday, November 12, 2018

Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus terima Ijazah Kehormat Doktor Sains UMT

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Bekas Penasihat Sains Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus, 74, dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Sains pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-16 di sini hari ini.

Ahmad Zaharudin yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari tahun 1994 hingga 2001 menerima anugerah tersebut atas sumbangan besarnya dalam bidang teknologi dan sains, pertanian, pemakanan, pendidikan, perbankan serta penyelidikan kepada negara dan global.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Lembaga Universiti UMT menerima ijazah kehormat tersebut daripada Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman.

Ahmad Zaharudin yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Nutrisi Haiwan di University of Aberdeen, Scotland memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Pertanian Perak Barat pada tahun 1969 sebelum dilantik sebagai Pengarah Teknologi Makanan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) pada lima tahun kemudian.

Beliau kemudiannya berkhidmat di Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sebelum diberi tanggungjawab mengasaskan Institut Penyelidikan Petroleum Petronas pada tahun 1989 seterusnya dilantik Naib Canselor UTM.

Selain itu, Ahmad Zaharudin turut diberi kepercayaan sebagai Penasihat Sains kepada Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kelima, Tun Ahmad Abdullah Badawi dan telah memainkan peranan besar dalam menyumbang idea dan kepakaran dalam pelaksanaan pelbagai polisi negara melibatkan bidang sains, teknologi dan inovasi. 


Dalam pada itu, Salihin Abang, 45, yang merupakan pengasas Salihin & Associate iaitu firma audit Bumiputera terbesar negara turut menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan daripada Samsudin pada majlis konvokesyen sama. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment