Translate

Saturday, November 24, 2018

Kawasan air terjun Terengganu bebas wabak kencing tikus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Semua kawasan air terjun yang terdapat di hutan lipur Terengganu termasuk Taman Eko Rimba Sekayu dekat sini bebas daripada wabak leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarah Perhutanan Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid (gambar kecil)  berkata, pihaknya telah mengambil pendekatan proaktif menjalin kerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri untuk melakukan pemantauan berkala di enam kawasan air terjun yang menjadi tumpuan ramai di negeri ini.

“Berdasarkan ujian sampel air yang diambil Jabatan Kesihatan negeri pada setiap bulan mendapati, semua kawasan air terjun berkenaan bebas daripada wabak kencing tikus.

“Selain Taman Eko Rimba Se­kayu, pemeriksaan itu turut meliputi Lata Tembakah dan Belatan, Besut; Chemerong dan Rimba Bandar Bukit Bauk, Dungun serta Hutan Lipur Air Menderu, Kemaman,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman melakukan lawatan kerja di Taman Eko Rimba Sekayu di sini semalam.

Ahmad Fadzil berkata, Jabatan Perhutanan ne­geri sebagai pihak bertanggungjawab mengambil cakna tentang kebersihan di kawasan air terjun berkenaan memperuntukkan RM20,000 setahun bagi tujuan penyelenggaraan di setiap lokasi tarikan pelanco­ngan terbabit.

Begitupun, beliau berharap keprihatinan pe­ngunjung tentang amalan kebersihan di kawasan riadah terlibat yang kini berada pada paras 60 peratus dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzil memberitahu, Jabatan Perhutanan de­ngan kerjasama kerajaan negeri juga akan membentangkan Rancangan Pengurusan Hutan Lipur Terengganu pada tahun hadapan.

Beliau berkata, ia bertujuan bagi memastikan kelestarian pengurusan kawasan air terjun terbabit untuk meningkatkan kunjungan pelancong ke lokasi berkenaan.

“Setakat ini, bilangan pengunjung ke hutan lipur menunjukkan pe­ningkatan dari setahun ke setahun seperti Taman Eko Rimba Sekayu ini dikunjungi 40,000 orang pada tahun ini berbanding 21,000 orang pada tahun lalu.

“Kesemua enam kawasan air terjun itu hanya akan beroperasi selama lapan bulan tahun ini dan ditutup atas faktor keselamatan sepanjang musim tengkujuh dari bulan ini hingga Februari depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment