Translate

Sunday, November 25, 2018

Sebak anak meninggal dunia sebelum sempat terima skrol

KUALA NERUS – Seorang ibu mencuri tumpuan selepas tidak mampu melangkah naik ke atas pentas untuk menerima skrol diploma anak bongsunya yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Sidang Keenam Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke- 10 di sini semalam.

Kesedihan Maznah Budin, 62, telah memaksa beliau meminta anak perempuannya, Suriati Rosli, 35, mewakilkan dirinya untuk menerima skrol Diploma Pengajian Bank secara anumerta bagi pihak arwah Hanis Danial, 20.

Ibu kepada enam anak itu ketika ditemui selepas majlis konvokesyen berkata, dirinya masih terkenang arwah anaknya yang meninggal dunia selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Semarak, Kuala Nerus pada 1 Mac lalu.

“Sewaktu kejadian, Allahyarham berada pada tahun akhir pengajian. Memang hajat saya sekeluarga dari awal untuk menghadiri majlis konvokesyen Allahyarham yang merupakan terakhir bagi keluarga.

Hari ini (semalam) kami datang dari Kuala Nerang, Kedah untuk tunaikan janji itu walaupun beliau sudah tiada lagi,” katanya yang tidak dapat meneruskan kata-kata kerana terlalu sedih.
Maznah berkata, Hanis Danial merupakan seorang yang sangat meminati seni lakonan dan meng­anggotai kumpulan teater, Anjung Kreatif di UniSZA.

Menurut beliau, seminggu sebelum anaknya meninggal dunia, arwah sempat pulang ke kampung di Kampung Tanjung Mukim Pedu, Kuala Nerang selepas menyertai program teater di Pulau Pinang.

“Itulah kali terakhir saya me­nemuinya. Sebelum pulang semula ke kampus, dia sempat berpesan agar saya hadir ke majlis konvokesyennya.

“Beliau juga sempat berseloroh saya sekeluarga mungkin perlu datang awal ke kampus UniSZA, Gong Badak di sini untuk mengambil barang-barang (peri­badinya). Tak sangka itu petanda pemergiannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment