Translate

Friday, November 23, 2018

Dana Wakaf UniSZA berkembang pesat

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi antara institusi pengajian tinggi awam tempatan yang muncul sebagai perintis kepada kewujudan dana wakaf pendidikan di negara ini pada kira-kira dua tahun lalu.

Perkongsian pintar antara pengurusan universiti itu dengan  Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) telah mencetuskan penubuhan Dana Wakaf UniSZA pada 1 Ogos 2016.

Dana wakaf pendidikan terbabit kemudiannya telah dirasmikan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UniSZA pada 21 Oktober 2017.
Pengarah Wakaf dan Infaq UniSZA, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, penubuhan Dana Wakaf UniSZA mengambil inspirasi daripada sistem yang telah dilaksanakan Universiti Al-Azhar, Mesir yang merupakan antara Institusi Pengajian Tinggi Islam tersohor dunia.

Beliau berkata, mekanisme wakaf yang merupakan instrumen ekonomi ketiga Islam terbukti telah memberi impak besar kepada Universiti Al-Azhar dalam membiayai pengajian ramai pelajar Islam sejak lebih 1,000 tahun lalu.

"Berdasarkan model itu, UniSZA telah bertindak proaktif mencadangkan penubuhan Dana Wakaf UniSZA bagi menyemarakkan lagi instrumen ekonomi Islam di negara ini.

"Usaha UniSZA telah disambut baik MAIDAM dengan memberi kelulusan terhadap kertas cadangan tersebut dalam tempoh tiga hari sahaja," katanya ketika ditemui di pejabatnya di kampus utama UniSZA di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Ahmad Azrin berkata, MAIDAM selaku pemegang amanah tunggal bagi pengurusan wakaf di Terengganu telah memainkan peranan penting dalam penubuhan Dana Wakaf UniSZA itu selaras Seksyen 4 Enakmen Wakaf (Terengganu) 2016.

Beliau berkata, setakat ini, dana wakaf tersebut telah menerima sumbangan terkumpul dalam bentuk tunai dan aset sebanyak lebih RM3.5 juta sejak ia dilancarkan pada dua tahun lalu.
"Sumbangan itu diterima daripada agensi kerajaan, badan korporat dan orang perseorangan seperti Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, kerajaan negeri Terengganu, Maybank Islamic Berhad, DSE Construction Sdn. Bhd. dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

"Kita menyasar untuk menerima sumbangan wakaf sebanyak RM10.2 juta dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun akan datang," ujarnya.

Ahmad Azrin berkata, sehingga kini, Pejabat Wakaf dan Infaq UniSZA telah mengagihkan lebih RM1 juta daripada sumbangan tersebut untuk manfaat lebih 1,000 pelajar dan komuniti setempat.

Ujar beliau, seramai empat pelajar cemerlang UniSZA dari keluarga kurang berkemampuan telah menerima biasiswa daripada dana wakaf terbabit.
"Pemberian biasiswa itu merangkumi yuran pengajian dan penginapan selain elaun sara hidup bulanan sebanyak RM600 kepada pelajar berkenaan.

"Dana Wakaf UniSZA juga telah diperuntukkan untuk pengagihan dermasiswa yang diberikan kepada pelajar cemerlang berkelayakan bukan berlatar belakangkan keluarga fakir dan miskin," katanya.

Selain bantuan secara konservatif dalam bentuk biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar, Ahmad Azrin memberitahu bentuk pengagihan dana wakaf pendidikan itu juga telah dipelbagaikan sesuai dengan situasi semasa namun tidak menyalahi matlamatnya iaitu 60 peratus pengagihannya perlu dalam bentuk kebajikan.
Jelas beliau, antaranya ialah program Siswapreneur iaitu pemberian bantuan modal perniagaan kepada 12 pelajar yang berpotensi dalam bidang keusahawanan.

"Setiap peserta program terbabit menerima bantuan modal sebanyak RM1,000. Mereka turut menerima bimbingan keusahawanan dan perniagaan pula dipantau.

"Selain disasar mampu berdikari sendiri dan memilih menceburi bidang keusahawan selepas menamatkan pengajian masing-masing, pelajar yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan berkenaan juga diharap dapat membantu keluarga mereka keluar daripada garis kemiskinan suatu hari nanti," katanya.

Ahmad Azrin berkata, dana wakaf pendidikan terbabit turut disalurkan untuk pemberian komputer riba, kelas tuisyen, program makan percuma dan insentif kepada pelajar tahfiz al-Quran yang memerlukan dan berkelayakan.

Menurut beliau, pembinaan Anjung Siswazah di Perpustakaan UniSZA, Studio al-Quran, penambahanbaikan peralatan pusat kesihatan di kampus utama serta mini gimnasium di kampus Besut juga menggunakan peruntukan daripada dana wakaf itu.
"Kita juga telah membangunkan alat bantu pembelajaran untuk pelajar daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) dengan menggunakan dana wakaf berkenaan.

"Mekanisme dana wakaf juga dimanfaat dalam operasi Pusat Komuniti Saadah yang merupakan pusat sehenti pemulihan dadah secara holistik," katanya.

No comments:

Post a Comment