Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Semua kawasan pendakian gunung, hutan lipur dan gua di seluruh Pantai Timur meliputi Terengganu, Kelantan dan Pahang ditutup untuk semua aktiviti sukan rekreasi dan lasak sepanjang musim tengkujuh ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, ia bertujuan untuk mengurangkan risiko insiden tidak diingini di kawasan rekreasi dan lasak terbabit sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berakhir Februari tahun depan.
“Ketetapan itu dilakukan pada Mesyuarat Khas Pengurusan Bencana Pantai Timur yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Kota Bahru, Kelantan kelmarin (Ahad lalu).
“Kita bimbang implikasi cuaca akibat hujan lebat dan angin kencang yang boleh mendatangkan pelbagai kemungkinan tidak dijangkakan dalam tempoh musim tengkujuh bermula hujung minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sehubungan itu, Che Adam menyarankan semua peminat sukan pendakian dan rekreasi agar menangguhkan semua aktiviti di Pantai Timur sepanjang musim tengkujuh.
Sebelum ini semua pusat peranginan di Pantai Timur yang kebanyakannya berada di Terengganu telah ditutup operasi kepada pengunjung setiap kali musim tengkujuh.
No comments:
Post a Comment