KUALA NERUS – Kegembiraan tujuh remaja mandi-manda di sebatang tali air bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas dalam kejadian di Kampung Padang Air, Tepoh di sini kelmarin.
Mayat Ahmad Muhaimin Mohd. Abdul Razip (gambar kecil), 13, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 9.20 malam.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd. Mazimi Mohamad berkata, Ahmad Muhaimin dan enam rakannya dilaporkan datang ke tali air itu untuk mandi kira-kira pukul 6 petang.
Beliau berkata, remaja tersebut bagaimanapun dipercayai hanyut dibawakan arus deras ketika sedang mandi bersama rakannya.
“Rakan mangsa cuba menyelamatkannya namun gagal sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada penduduk kampung.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kemudian bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat pada pukul 6.02 petang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Marmizi berkata, mayat Ahmad Muhaimin ditemui di dasar tali air tersebut kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment