Translate

Sunday, November 4, 2018

Wanita sarat hamil naik bot

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Banjir yang melanda Kampung Seri Bayas di sini semalam telah menyebabkan seorang wanita sedang sarat hamil terperangkap di dalam rumahnya selepas jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan ditenggelami air bah sedalam 0.5 meter.

Siti Maisarah Merasidi, 30-an, yang dijadualkan melahirkan anak keempat pada Rabu lalu telah dibawa keluar oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu di sini dengan menaiki bot pada pukul 5.15 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, pihaknya telah menerima panggilan daripada Hospital Setiu di sini untuk memohon bantuan menyelamatkan Siti Maisarah yang terperangkap akibat banjir di rumahnya bersama ahli keluar­ganya pada pukul 1 petang.

“Pengurusan Hospital Setiu meminta bantuan bomba untuk menghantar Siti Maisarah ke hospital kerana bakal melahirkan anak bila-bila masa. Empat anggota bomba telah dikerahkan ke rumah wanita tersebut telah terperangkap bersama ahli keluarganya di Kampung Seri Bayas,” katanya.

Hujan lebat sejak tengah malam kelmarin menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dan Hulu Terengganu termasuk Kampung Seri Bayas dekat sini telah ditenggelami banjir antara 0.3 dan 0.5 meter.

Bagaimanapun setakat ini, banjir itu masih terkawal dan tiada pusat pemindahan sementara yang dibuka walaupun sebahagian jaringan perhubungan termasuk Jalan Kampung Besut-Seri Bayas turut ditenggelami air bah.

No comments:

Post a Comment