Translate

Thursday, November 29, 2018

Rumah pusaka terakhir Tanjung dirobohkan

KUALA TERENGGANU - Sebuah rumah pusaka dikatakan berusia lebih 100 tahun di Kampung Tanjung di sini yang  menjadi satu-satunya kediaman masih tinggal di bekas perkampungan nelayan tersebut akhirnya dirobohkan pihak berkuasa semalam.

Pemilik rumah tersebut, Wan Mokhtar Wan Yusof, 64, sebelum ini enggan berganjak bagi memberi ruang kepada pembangunan yang sedang rancak berlangsung di kawasan berkenaan walaupun telah diberi notis pengosongan premis sejak awal tahun ini.

Tindakan merobohkan rumah tradisional itu menggunakan dua jentolak dengan pemantauan pegawai Pejabat Tanah dan Galian Terengganu pada pukul 9 pagi dan selesai sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.

Proses merobohkan rumah pusaka yang dikatakan dibina pada sekitar tahun 1900-an hampir terganggu akibat sedikit kekecohan berikutan Wan Mokhtar tidak berpuas hati dengan tindakan itu.

Wan Mokhtar tetap dengan pendirian enggan mengosongkan kediamannya walaupun diberi notis terbaharu pada tiga hari lalu kerana tidak berpuas hati dengan pampasan RM20,000 dijanjikan kerajaan negeri Terengganu dianggap tidak setimpal sebaliknya menuntut ganti rugi RM20 juta.

"Walaupun telah dirobohkan, saya tetap akan menuntut hak terhadap rumah ini dan kes ini masih berjalan di mahkamah," luahnya di Kampung Tanjung di sini semalam.

Kampung Tanjung yang terletak berhampiran muara Sungai Muara kini rancak dengan pembangunan termasuk pembinaan jambatan angkat, Pusat Konvensyen Kuala Terengganu dan Mayang Mall.

Kisah rumah pusaka tersebut pernah tular di media sosial sejak awal tahun ini.

Wan Mokhtar memberitahu, rumah yang didiaminya diwarisi daripada Allahyarham ayahnya, Wan Yusof Wan Abdul Kadir yang dibeli daripada ibu saudaranya bernama Wan Mek Wan Yaacob pada tahun 1977.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan tindakan kerajaan negeri merobohkan rumah pusaka milik keluarga Wan Mokhtar terbabit kerana ia dibina di tanah kerajaan.

No comments:

Post a Comment