Translate

Tuesday, November 13, 2018

UMT bakal perkenal tiga program IR 4.0 baharu pada sesi pengambilan 2019/2020

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memperkenalkan tiga program baharu yang menetapi kehendak Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) bermula pada sesi pengambilan tahun depan.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, tiga program baharu tersebut ialah Sarjana Sains (Forensik Alam Sekitar), Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) dan Sarjana Muda Sains Komputer (Komputeran Mudah Alih).

"Kesemua program baharu terbabit merupakan pertama diperkenalkan oleh institusi pengajian tinggi negara ini dan seiring dengan kehendak IR 4.0. Tempoh pengajian program sarjana adalah setahun manakala sarja muda pula antara tujuh hingga 12 semester.

"Mod pengajian kesemua program tersebut mempunyai penglibatan industri," katanya selepas menghadiri majlis Konvokesyen UMT ke-16 di Dewan Sultan Mizan di sini hari ini.

Seramai 2,970 graduan peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah menerima skrol masing-masing dalam majlis konvokesyen tersebut yang dirasmikan Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman.


Nor Aieni berkata, pengambilan pertama bagi program baharu tersebut pada sesi kemasukan September tahun depan bakal melibatkan antara 40 hingga 60 pelajar bagi peringkat ijazah sarjana muda manakala maksimum 20 orang untuk sarjana. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment