Translate

Tuesday, February 7, 2017

TNB kempunan, THT pesta gol

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH dan MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa ‘berputih mata’ untuk meraih kemenangan ke atas Maybank apabila diikat seri 2-2 pada aksi Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) 2017 di Stadium Hoki Lembah Pantai, Kuala Lumpur semalam.

Ia ekoran kelebihan dua gol yang mereka miliki pada aksi tersebut gagal dimanfaatkan sebaik mungkin kerana membenarkan Maybank bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit untuk keputusan seri 2-2.

Ketua jurulatih TNB, Muhamad Amin Rahim kecewa dengan ‘skrip’ sama dipamerkan anak-anak buahnya yang gagal mempertahankan kelebihan dimiliki pada perlawanan tersebut.

“Kami bermain baik dalam separuh masa pertama tetapi kelebihan dua gol yang kami dapat dalam perlawanan ini tidak dijaga dengan baik.

“Masalah yang sama juga saya hadapi sejak tahun lepas iaitu kami sukar untuk menjaringkan gol. Perkara sebegini harus dielakkan dan saya harap para pemain sedar dan bangkit selepas ini.

“Tiada guna jika pasukan bermain baik tetapi gagal menjaringkan gol. Saya harap kami dapat memperbaiki masalah ini jika mahu berada dalam kelompok empat teratas,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

TNB bermula baik dengan memperoleh gol pertama menerusi Mohd. Amirol Aideed Md. Arshad (m-12) sebelum Norsyafiq Sumantri menggandakan kedudukan pada minit ke-43.

Bagaimanapun, Maybank berjaya bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi dua gol pantas dalam tempoh lima minit menerusi Mohd. Zulhairi Hashim serta Jang Soon Chan pada minit ke-45 dan ke-50.

Sementara itu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengukuhkan kedudukan di persada liga selepas membenam cabaran Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 10-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil memain peranan penting bagi menentukan kemenangan terbesar di lakar THT pada musim ini selepas menyum­bat empat gol pada minit pertama, ke-17, ke-30 dan ke-56.

Pakar pukulan sudut penalti kelahiran Korea Selatan, Jang Jonghyun pula menjaringkan hatrik pertama­nya musim ini pada minit ke-29, ke-33 dan ke-39.

Baki tiga gol THT yang lain di sumbang Ismail Abu (m-8), Nicolas Enrique Della Torre (m-12) dan B. Namasivayam pada minit ke-20.

SSTMI berjaya juga mendapatkan gol saguhati menerusi jaringan padang Muhammad Shahrin Izzudin Shamsuri pada minit ke-56.

No comments:

Post a Comment