Translate

Saturday, February 11, 2017

Bekas tentera mengamuk cederakan anggota RAMD

KUALA NERUS –  Kem Seri Pantai, Seberang Takir di sini yang menempatkan Batalion ke-18 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) gempar dengan tindakan seorang bekas askar yang tiba-tiba mengamuk.

Dalam kejadian pukul 1.50 petang, seorang anggota tentera yang sedang menjalankan tugas-tugas mengawal di kem itu cedera ringan di leher terkena torehan pisau suspek yang berusia 41 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, suspek yang memakai topi ke­ledar dan menutup mukanya dengan kain telah menghentikan motosikalnya di hadapan pintu utama sebelum menghampiri salah seorang anggota tentera yang sedang berkawal.

“Suspek beritahu dia mahu berjumpa dengan penolong pegawai memerintah (Kem Seri Pantai) sebelum menerkam dan mengacu pisau ke leher anggota RAMD berkenaan dengan sebilah pisau.

“Suspek juga cuba menarik senjata api yang sedang dipegang anggota tentera itu menyebabkan berlaku pergelutan,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, pergelutan tersebut menyebabkan leher anggota tentera yang berusia 29 tahun me­ngalami luka ringan terkena torehan pisau.
Katanya, suspek itu kemudian ditahan oleh seorang rakan mangsa di kem itu sebelum lelaki itu diserahkan kepada polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Permaisuri, Setiu merupakan bekas tentera yang sudah ditamatkan perkhidmatan kerana masalah mental pada tahun 2007.

No comments:

Post a Comment