KUALA TERENGGANU – Masalah pengguna Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang berdepan kesukaran mengisi petrol untuk kenderaan masing-masing sejak pembukaan lebuh raya itu lebih dua tahun lalu bakal berakhir dengan pembukaan tiga stesen minyak selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Terengganu, Rosli Othman berkata, tiga stesen minyak tersebut bakal dibina di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman dan Hentian Paka, Dungun arah utara serta selatan.
“Permohonan tanah bagi pembinaan stesen minyak berkenaan oleh sebuah syarikat petroleum telah diluluskan kerajaan negeri pada mesyuarat Exco mingguan pada minggu lalu.
“Kerajaan negeri dimaklumkan kesemua stesen minyak terbabit bakal siap dibina dalam tempoh setahun,” katanya di sini semalam.
Rosli berkata, setakat ini, LPT2 hanya mempunyai sebuah mini stesen minyak yang beroperasi di Hentian Kijal arah utara sejak Mei tahun lalu.
LPT2 merupakan sebuah lebuh raya sepanjang 184km yang bermula dari Jabor, Pahang ke Kampung Gemuroh, Terengganu.
No comments:
Post a Comment