Translate

Friday, February 17, 2017

Bekas tentera didakwa cederakan askar RAMD

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mencederakan seorang anggota Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Jumaat lalu.

Aminudin Mohamad (gambar), 41, yang kini merupakan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Dia yang berasal dari Kampung Pak Kancil, Setiu dan tidak diwakili peguam mendakwa melakukan perbuatan tersebut dalam kea­daan tidak waras.

“Saya pernah mendapatkan rawatan penyakit mental di Hospital Sungai Petani, Kedah dan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Sungai Udang, Melaka dari tahun 1999 hingga 2009.

“Sepanjang tempoh tersebut saya telah mengambil pil yang disarankan doktor tetapi saya tidak lagi mendapatkan rawatan lagi dan mengambil ubat berkenaan selepas itu,” katanya kepada mahkamah di sini semalam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan Prebet Zaimi Mohd. Jailani dengan menggunakan pisau di pos pintu utama Kem Seri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus yang menempatkan Batalion ke-18 RAMD pada pukul 1.55 petang, 10 Februari lalu.

Dia di dakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru, Johor dalam tempoh sebulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mac depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad.

Kosmo! 11 Februari lalu melaporkan, bekas askar tersebut secara tiba-tiba mengamuk sehingga mencederakan seorang askar yang sedang berkawal di pintu masuk Kem Seri Pantai.

Suspek diberhentikan da­ripada perkhidmatan tentera pada 2007.

No comments:

Post a Comment