Translate

Wednesday, February 8, 2017

MB Terengganu jatuh kuda

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Malang tidak berbau. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman mengalami kecederaan ringan akibat terjatuh daripada kuda di Pusat Equestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku sewaktu beliau sedang menunggang seekor kuda untuk aktiviti riadah di pusat ekuestrian tersebut pada pukul 10.30 pagi.

Ahmad Razif telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur sejurus kejadian dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, kecederaan yang dialami Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir itu tidak berapa serius.

Begitupun, beliau masih menerima rawatan di wad hospital swasta terbabit dan memerlukan pengawasan pakar perubatan sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam.

Berikutan perkembangan ke­sihatan Ahmad Razif tersebut, semua program yang melibatkan beliau termasuk solat sunat Dhuha berjemaah dan majlis Ucapan Negeri yang dijadualkan pada pukul 8 pagi dan 9 pagi hari ini terpaksa ditangguhkan.

Sebelum ini, difahamkan beliau berada di ibu negara untuk merasmikan program Pasar Percuma untuk anak Terengganu di perantauan yang diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur kelmarin.

Sementara itu, Ahmad Razif memberitahu, beliau telah dinasihatkan oleh pakar perubatan yang merawatnya agar berehat selama beberapa hari.
“Alhamdulillah saya cuma mengalami kecederaan ringan dan kini menjalani sesi fisioterapi.

“Terima kasih kepada sahabat dan seluruh masyarakat yang mengambil berat serta mendoakan keselamatan saya,” katanya menerusi laman Facebook
rasminya.

Ahmad Razif sememangnya meminati sukan berkuda seperti juga kerabat diraja Terengganu.

Beliau pernah memenangi Kejohanan Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu bagi kategori golongan Orang Kenamaan yang diadakan di Taman Kuda Lasak Antarabangsa Terengganu, Lembah Bidong, Setiu pada Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment