KUALA NERUS – Tiga buah koperasi golongan orang kelainan upaya (OKU) baru-baru ini bergabung membentuk Konsortium Koperasi Penyayang Terengganu Bhd. (Konsortium Koperasi Penyayang).
Pengerusi Penaja Konsortium Koperasi Penyayang, Ismail Muda berkata, tiga koperasi terbabit adalah Koperasi Peka Malaysia Bhd. yang dianggotai individu cacat pendengaran, Koperasi Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Terengganu Bhd. (cacat penglihatan) dan Koperasi Gerak Wawasan (cacat anggota).
“Konsortium Koperasi Penyayang yang dianggotai 300 individu OKU ditubuh secara rasminya dengan modal berbayar sebanyak RM1,500.
“Kita berharap dapat menarik kesemua 30 koperasi OKU di seluruh negara agar bergabung di bawah konsortium ini suatu hari nanti,” katanya pada majlis penutup Seminar Pembangunan Konsortium Koperasi Penyayang di sini kelmarin.
Turut hadir ialah Naib Presiden Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Mohamad Azmi Omaruddin.
Ismail berkata, Konsortium Koperasi Penyayang berhasrat untuk menceburi segmen perniagaan urutan refleksologi, kraf tangan, makanan ringan dan pemasaran bagi menjana pendapatan.
Beliau berkata, sebagai permulaan, konsortium terbabit menyasar untuk membuka 100 gerai jualan yang akan diuruskan ahli koperasi yang terdiri golongan OKU di seluruh Terengganu dan negeri sekitar pada tahun ini.
“Setiap gerai jualan yang memasarkan perkhidmatan dan barangan buatan OKU itu diunjur untuk menjana perolehan antara RM10,000 dan RM15,000 sebulan,” katanya.
No comments:
Post a Comment