Translate

Friday, February 10, 2017

Kecederaan paha kanan Faizal disahkan tidak serius

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENYERANG sensasi skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari menerima berita gembira apabila kecederaan paha kanan yang dialaminya disahkan tidak serius.

Faizal, 26, mengalami kecederaan itu sewaktu membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) membelasah Tenaga Nasional Berhad (TNB) 6-1 pada aksi Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) 2017 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu, Jumaat lepas.

Menurut Faizal, pakar perubatan yang merawatnya mengesahkan ligamen otot paha kanannya tidak putus tetapi sekadar terkoyak, sekali gus kembali membuka harapan untuk dia menyertai skuad kebangsaan semula bagi kelayakan Piala Dunia 2018 bulan depan.

“Alhamdulillah, ligamen otot paha kanan saya tidak putus tetapi terkoyak sepanjang tiga sentimeter dan saya telah dinasihatkan agar berehat dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Begitupun, ia tetap kecederaan paling teruk pernah saya alami sepanjang karier dan saya harap proses pemulihan ini akan berjalan lancar,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu kelmarin.

‘Mesin gol’ skuad negara dan THT itu akan menjalani sesi pemulihan di Pusat Pemulihan Institut Sains Negara (ISN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula semalam.

Sementara itu, Faizal berharap dia akan pulih secepat mungkin sekali gus membantu skuad negara beraksi pada Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL), Jun depan kerana ia merupakan kelayakan terakhir dalam merebut tempat beraksi pada Piala Dunia 2018.

Faizal berpeluang beraksi pada kejohanan itu sekiranya skuad negara berjaya meraih tiket automatik daripada dua slot yang ditawarkan pada Pusingan Kedua (WHL) di Dhaka, Bangladesh yang akan bermula 4 Mac depan.

No comments:

Post a Comment