Translate

Monday, February 6, 2017

Terengganu mula pamer taring

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KETUA jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim boleh berasa bangga apabila skuad kendaliannya berjaya melakar kemenangan kedua berturut-turut pada kempen Liga Primier selepas menumpaskan Majlis Sukan India Malaysia-Persa­tuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) 2-1 malam kelmarin.

Begitu pun, beliau memberitahu kemenangan yang diraih di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu bukannya mudah ber­ikutan tentangan sengit yang diberikan pemain MISC-MIFA.

“Biarpun MISC-MIFA telah tewas dalam kesemua perlawanan yang diharungi mereka sebelum ini, pemain-pemain pasukan itu telah menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga kita buntu untuk menembusi gawang mereka sepanjang separuh masa pertama.

“Mereka menggunakan taktik bertahan dengan sekurang-kurangnya 10 pemain termasuk penjaga gol berkubu di kawasan sendiri setiap kali kita melancarkan serangan,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Sehubungan itu, Irfan memberitahu dia telah mengarahkan anak-anak buahnya agar tampil dengan rentak yang lebih pantas pada separuh masa kedua sebagai usaha untuk merobek kubu kebal MISC-MIFA.

Menurut pengendali berpengalaman itu, perancangan itu membuahkan hasil selepas pemain tengah, Lutfulla Turaev berjaya memecah kebuntuan dengan meledak gol pertama Terengganu pada awal minit separuh masa kedua.

“Tiga mata yang diperoleh pada perlawanan ini amat berharga buat Terengganu. Apa pun kita perlu terus fokus kerana perjalanan liga masih panjang lagi. Saya juga masih mengharapkan yang lebih daripada (Fe­derico) Falcone selaku penyerang utama skuad ini,” katanya.

Pada perlawanan yang disaksikan 4,670 penyokong tegar skuad Penyu itu, Turaev yang mengikut jejak Irfan berhijrah dari Felda United itu sekali lagi menunjukkan bisanya de­ngan menewaskan penjaga gol MISC-MIFA, Mohd. Khairul Izzuwan Shaari buat kali kedua pada minit ke-75.

MISC-MIFA yang juga juara Piala FAM musim lalu bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan selepas tandukan Micheal Ijezie Chukwubunna menerjah gawang skuad Penyu dua minit kemudian.

No comments:

Post a Comment