Translate

Sunday, February 5, 2017

Faizal alami kecederaan serius

PENYERANG sensasi kebangsaan, Faizal Saari bakal terlepas peluang untuk beraksi pada kelayakan Piala Dunia bulan depan akibat kecederaan serius pada kaki kanannya sewaktu membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) membenam Tenaga Nasional Berhad (TNB) 6-1 semalam.

Dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-30 selepas ligamen otot paha kanannya putus akibat terjatuh sewaktu mengawal bola bersendirian di tengah padang pada perlawanan ketujuh Divisyen Premier, Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu.

Faizal yang terhincut-hincut menahan kesakitan terpaksa dipapah rakan sepasukan sebaik perlawanan berakhir sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.

Kecederaan tersebut bukan sahaja menyebabkan dia terpaksa melupakan baki aksi MHL yang bakal memasuki pusingan kedua pada esok malah mungkin juga melupakan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Trinidad and Tobago pada Mac ini seterusnya saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia pada Jun depan.

Mengulas insiden itu, jurulatih Sarjit Singh berkata, beliau bersimpati de­ngan nasib menimpa Faizal yang merupakan antara pemain harapan buat skuad negara bagi memburu tiket ke Piala Dunia yang bakal berlangsung di India pada tahun 2018.

“Saya juga perlu menerima hakikat terpaksa melupakan khidmat Faizal buat semua baki perlawanan MHL pada musim ini. Sepanjang empat tahun saya melatih THT, saya belum pernah melihat dia mengalami kecederaan seteruk itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan THT dengan TNB semalam.

Dalam pada itu, THT berpesta gol menerusi hatrik Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pada m-17, m-29 dan m-36 serta dua jaringan pakar pukulan sudut penalti kelahiran Korea Selatan, Jang Jonghyun pada m-3 dan m-48.

Muhamad Amirul Mirza Rozi melengkapkan pesta THT dengan menjaringkan gol keenam juara bertahan itu pada minit ke-60 iaitu beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan.

Gol saguhati TNB dijaringkan pemain kebangsaan, Muhamad Ramadan Rosli menerusi jaringan padang pada m-23.

No comments:

Post a Comment