Translate

Saturday, February 25, 2017

Kanak-kanak tiada sijil kelahiran kembali ke sekolah

HULU TERENGGANU – Keresahan seorang ibu apabila anaknya yang berusia 11 tahun tidak dapat meneruskan persekolahan selama lebih setahun kerana masalah dokumen kelahiran berakhir selepas pelajar itu dibenarkan bersekolah semula di Sekolah Kebangsaan (SK) Ajil di sini semalam.

Muhamad Malikie Shamsul Rizal yang dilahirkan di Pekanbaru, Riau, Sumatera, Indonesia ketika ibu bapanya bekerja di negara jiran itu pada 2006 kembali menyambung pelajaran dalam tahun lima di sekolah tersebut.

Ibunya, Hasiah Ismail, 41, berkata, sebelum ini anak kelima daripada enam beradik itu tidak dibenarkan memasuki tahun empat di SK Ajil pada 2016 kerana ketiadaan sijil kelahiran.

“Dia dilahirkan sewaktu saya mengikut bekas suami, Shamsul Rizal Ismail yang bekerja dalam sektor pembalakan di Pekanbaru, Riau pada 5 Disember 2006.

“Saya akui telah melakukan kesilapan kerana tidak memaklumkan kelahirannya kepada pihak Konsulat Malaysia di sana yang menyebabkan dia tidak mempunyai sijil kelahiran,” katanya kepada pemberita selepas menemani Muhamad Malikie kembali ke sekolah di SK Ajil di sini semalam.

Turut mengiringi murid tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Hasiah yang menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin Bukit Ara, Ajil di sini memberitahu, dia serta bekas suaminya yang telah meninggal dunia sejak sembilan tahun lalu merupakan warganegara ini dan masalah dokumentasi itu hanya melibatkan Muhamad Malikie.

Sementara itu, Ghazali berkata, beliau telah meminta jasa baik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) agar membenarkan Muhamad Malikie kembali ke sekolah.

Katanya, beliau sendiri dan pegawai JPNT akan pergi ke Pekanbaru, Riau dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu dokumentasi dan pengesahan warganegara Muhamad Malikie.

“Sebelum ini, JPNT menggunakan budi bicara dengan membenarkan kanak-kanak itu bersekolah sehingga tahun tiga tanpa sijil kelahiran dan pemberhentian murid itu pada tahun lalu terpaksa dilakukan selepas isu dokumentasi gagal diselesaikan dalam tempoh sewajarnya.

“Kami akan berusaha membantu Muhamad Malikie memperoleh sijil kelahirannya agar dia boleh mendapat semula haknya sebagai seorang warganegara Malaysia,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment