Translate

Saturday, February 4, 2017

Terengganu menang 2-1

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) 2-1 pada aksi kedua Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Pemain tengah import, Lutfulla Turaev muncul wira dengan menjaringkan kedua-dua gol tersebut pada minit ke-45 dan 61.
Gol pertama terhasil menerusi sepakan deras Turaev dari dalam kotak penalti yang berjaya memperdaya penjaga gol lawan, Mohd. Khairul Izzuwan Shaari tidak lama selepas sepak mula separuh masa kedua.
Pemain kelahiran Uzbekistan itu sekali lagi menunjukkan bisanya selepas meledak gol kedua selepas menyambut hantaran Federico Falcone di penjuru kiri pintu gol MISC-MIFA selang 16 minit kemudian.
Anak buah Irfan Bakti Abu Salim berpeluang untuk menggandakan gol namun peluang yang terhidang gagal dimanfaat Muhd. Ferris Daniel Mat Nasir walaupun gawang MISC-MIFA telah dibuka tanpa kawalan pada minit ke-75.
Selang dua minit kemudian, MISC-MIFA yang juga juara Piala FAM musim lalu berjaya merapatkan kedudukan selepas tandukan Micheal Ijezie Chukwubunna menerjah gawang Terengganu pada minit ke-77. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment