Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
NAIB juara musim lepas, Blue Warriors bermula langkah kanan pada aksi pembukaan Liga Hoki Wanita Malaysia (MHWL) 2017 dengan menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 5-0 di Stadium Tun Razak, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.
Skuad hoki wanita dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tidak berdepan masalah besar menundukkan SSTMI yang kini memiliki keseluruhan barisan pemain berbeza berbanding sewaktu menjuarai saingan liga musim lepas.
Meskipun menang bergaya, namun ketua jurulatih Blue Warriors, Zulkhairi Ariffin masih belum gembira melihat prestasi dan persembahan dipamerkan anak-anak buahnya dalam perlawanan tersebut.
“Saya mengharapkan para pemain selepas ini dapat bermain mengikut arahan kerana aksi seterusnya bertemu TLHT (Pasukan Hoki Wanita Terengganu) dan ia satu perlawanan sukar,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas tamat perlawanan semalam.
Lima gol Blue Warriors dijaringkan oleh Nuraslinda Said seawal minit ketiga, Norbaini Hashim (m-10), Nor Hidayah Ahmad Bokhari (m-26), Noor Hasliza Md. Ali (m-29) dan Qasidah Najwa Muhd. Halimi (m-56).
Dalam pada itu, pengendali SSTMI, Azlizam Abdul Shukor tetap berpuas hati dengan aksi anak-anak buahnya yang majoritinya merupakan para pelajar sekolah di SSTMI walaupun tewas dengan jaringan besar.
Sementara itu, TLHT membuktikan status mereka selaku pasukan pilihan musim ini apabila membelasah skuad hoki wanita Kulim 6-0 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.
Gol-gol TLHT dijaringkan oleh Nurain Fatihah Salleh (m-10), Hanis Nadiah Onn (m-17). Nuraini Abdul Rashid (m-22 dan m-52), Siti Rahmah Othman (m-27) serta Nurul Syafiqah Mohd. Zain pada minit ke-28.
Satu lagi aksi yang berlangsung semalam menyaksikan PKS-Uniten-KPT turut berpesta gol apabila membelasah Persatuan Hoki Daerah Johor Bahru (JBDHA) 6-0 di Stadium Hoki Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bangsar, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment