Translate

Saturday, February 18, 2017

THT sebelah kaki untuk mempertahankan kejuaraan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) hampir mengesahkan kejuaraan liga buat kali keempat berturut-turut selepas menumbangkan Maybank 5-2 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

Pakar pukul sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun meledak dua gol buat tuan rumah pada minit ke-12 dan 17.

Terdahulu THT yang mendahului liga Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia dengan 33 mata membuka jaringan menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pada minit ke-10.

Penyerang berpengalaman itu menyudahkan percubaan pukulan sudut penalti Jonghyun yang berjaya ditampan penjaga gol Maybank dari Kanada, David Charles Micheal.

Juara bertahan itu terus melebarkan jurang gol menerusi gol padang Muhammad Firhan Ashaari pada minit ke-31.

Gol terakhir THT pula disumbangkan Ameer Aiman Mohammad Saberi yang bijak menolak masuk hantaran Valentin Verga sekali gus memperdaya Charles Micheal buat kali kelima pada minit ke-56.

Maybank yang kini berada di kedudukan kelima liga memperoleh dua gol saguhati menerusi dua pemain import iaitu Jang Soon Chan dan Jeremy Edwards masing-masing pada minit ke-32 dan 47.

Sementara itu, jurulatih THT, Sarjit Singh berkata, beliau lega anak buahnya berjaya menepati ramalan menjinakkan Maybank dan mereka kini memberi tumpuan penuh pada pertembungan terakhir dengan Pasukan Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada Ahad ini.

“Saya sudah duga daripada awal lagi bukan mudah untuk mengekalkan kejuaraan musim ini dan ia akan ditentukan dengan menentang musuh tradisi (KLHC) pada aksi terakhir di gelanggang lawan.

“Ia merupakan misi hidup mati dan saya tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan Faizal Saari pada perlawanan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment