Translate

Saturday, February 18, 2017

Ahmad Razif tarik diri tanding jawatan Timbalan Presiden FAM


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman membuat keputusan untuk tidak bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Biarpun mendapat pencalonan bagi jawatan No. 2 FAM itu sebelum ini, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memilih untuk tidak melibatkan diri dalam kepimpinan pe­ngurusan bola sepak pada pe­ringkat nasional buat masa ini.

“Biarlah saya beri tumpuan kepada PBSNT, lagipun saya baru menerajuinya pada penghujung tahun lalu.

“Saya juga menolak pencalonan sebagai Timbalan Presiden FAM kerana komitmen terhadap rakyat Terengganu selaku Menteri Besar,” kata Ahmad Razif kepada pemberita di Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Razif berpendapat penarikan diri Khairy Jamaluddin Abu Bakar daripada bertan­ding merebut kerusi Presiden FAM bagi memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai hak peribadi Menteri Belia dan Sukan tersebut.

Tanpa memihak kepada mana-mana calon, beliau berpendapat kepimpinan baharu yang bakal di pilih kelak perlu menjalankan tugas dengan baik untuk memartabatkan semula sukan No. 1 negara itu sebaiknya bagi memenuhi harapan rakyat.

Kelmarin merupakan hari terakhir buat semua calon mengesahkan status mereka untuk bertanding pada pemilihan yang akan diadakan sempena Kongres FAM ke-53,  25 Mac depan.

Sebelum ini, Ahmad Razif merupakan salah seorang daripada lapan nama yang dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM.

Kerusi panas Presiden FAM pula bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Tunku Ismail yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim dengan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.

No comments:

Post a Comment