Translate

Friday, February 24, 2017

PKNS bangkit curi satu mata

PENGENDALI skuad PKNS FC, E. Elavarasan memuji kebangkitan mengagumkan anak-anak buahnya yang berjaya mengikat T-Team seri 2-2 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Beliau berkata biar pun ketinggalan dua gol pada babak pertama, mental pemain-pemainnya tidak terjejas dan mereka tetap fokus memburu jaringan penyamaan pada baki 45 minit perlawanan.

“Saya puas hati kerana kita berjaya mencuri satu mata di gelanggang pasukan lawan. Apatah lagi kita berjaya bangkit semula selepas ketinggalan 0-2 dengan menyamakan kedudukan dalam tempoh 12 minit terakhir.

“Memang kita telah melepaskan dua gol yang mudah pada separuh masa pertama tetapi ia berjaya diperbaiki pada separuh masa kedua,” kata Elavarasan ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Dia turut memuji peranan cemerlang yang dimainkan penyerang berpengalaman, Mohd. Safee Sali dalam mengubah corak permainan skuadnya sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-55.

Menurut beliau, kemasukan Mohd. Safee berjaya menggerakkan jentera serangan PKNS, sekali gus memberi tekanan kepada benteng pertahanan T-Team yang seterusnya membolehkan skuadnya memperoleh gol pertama menerusi jaringan pemain tengah kelahiran Terengganu, Mohd. Khairul Ramadhan Zauwawi pada minit ke-74.

“Serangan bertali-arus terus membuatkan benteng pertahanan pasukan berada dalam keadaan tertekan sehingga mereka melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri pada minit-minit terakhir perlawanan,” katanya.

Terdahulu T-Team mendahului 2-0 menerusi jaringan penyerang importnya, Farhod Tadjiev pada minit kesembilan dan 45.

No comments:

Post a Comment