KUALA NERUS – Jabatan Kesihatan Terengganu mengesan segelintir peniaga di negeri ini mengambil kesempatan menggunakan promosi jualan murah sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini untuk menjual produk makanan yang tamat tempoh dan tidak selamat.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Omar berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 34 premis perniagaan merangkumi pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pemborong di seluruh negeri ini sejak 9 Januari lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan itu, sebanyak 1,151 jenis produk makanan telah disita kerana didapati telah melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Ia merangkumi 923 jenis produk makanan telah tamat tempoh, tin kemek (207), pembungkusan rosak (15) dan enam pelabelan tidak betul melibatkan rampasan bernilai RM6,951.35.
“Pemeriksaan mendapati kebanyakan produk makanan tidak selamat itu diletakkan bersama-sama produk yang masih dalam keadaan baik di rak promosi jualan murah sempena Tahun Baru Cina,” katanya selepas mengetuai operasi pemeriksaan keselamatan dan kualiti makanan di sebuah pasar raya di sini semalam.
Pemeriksaan di pasar raya itu berjaya menyita 64 jenis produk makanan yang didapati telah tamat tempoh, kemek dan berkarat melibatkan nilai rampasan sebanyak RM1,054.
No comments:
Post a Comment