Translate

Friday, February 3, 2017

Tesdec teroka sektor baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) bakal meneroka bidang tenaga boleh diperbaharui menerusi projek bekalan tenaga solar di Sura, Dungun dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengurus Besar Tesdec, Saidi Salleh berkata, struktur panel tenaga solar yang menelan belanja RM20 juta tersebut akan dibangunkan di tanah kolej kemahiran milik kerajaan negeri yang seluas 4.05 hektar.

“Stesen tenaga solar terbabit dapat menyalurkan 3.5 megawatt tenaga elektrik pada satu-satu masa kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) selepas ia siap sepenuhnya pada awal tahun 2019.

“Setakat ini, Tesdec merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi di Terengganu dan ketiga di negara ini yang diberi lesen pembekalan tenaga solar oleh Suruhanjaya Tenaga dan TNB,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum perjanjian projek tersebut dengan syarikat konsultan tenaga boleh diperbaharui, Suria Infiniti Sdn. Bhd. (Suria Infiniti) di Kampus Tesdec Bukit Khor dekat sini semalam.

Suria Infiniti diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Syahrul Nizar Abdul Ghani.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Terengganu, A. Latiff Awang.

Saidi berkata, Tesdec baru-baru ini menandatangani perjanjian pembekalan tenaga solar ke dalam sistem Rangkaian Grid Nasional bersama TNB.

Menurut beliau, berdasarkan perjanjian tersebut, tenaga solar daripada Tesdec akan dibekalkan kepada syarikat utiliti nasional berkenaan bagi tempoh 21 tahun.

“Ia diunjur dapat menjana perolehan sebanyak RM3 juta setahun atau RM63 juta sepanjang tempoh perjanjian,” katanya.

No comments:

Post a Comment