Translate

Wednesday, December 4, 2024

Tuan Jusoh korban banjir pertama Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Lelaki warga emas yang ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan sawah di Kampung Pinang di sini hari ini disahkan sebagai korban banjir pertama Terengganu pada tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, mangsa, Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, telah lemas akibat terjatuh di kawasan sawah yang ditenggelami banjir.

“Mangsa dipercayai keluar memukat ikan di kawasan sawah itu bersama tiga rakannya sebelum dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa telah ditemui di dasar sawah yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira tiga meter pada pukul 10.10 pagi,” katanya ketika ditemui sewaktu meninjau situasi banjir di Kampung Padang Luas di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Khairi menasihatkan orang ramai agar menghindari kawasan ditenggelami banjir sepanjang musim tengkujuh ini.

Jelas beliau, kawasan berkenaan amat berisiko kerana kadar kedalaman air yang menenggelaminya sukar dijangka.

“Selain itu, penduduk yang menetap di kawasan rendah juga dinasihatkan agar segera berpindah ke pusat pemindahan telah diwartakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Khairi memberitahu setakat ini, Balai Polis Kuala Jengal, Hulu Dungun dan Pondok Polis Tenang, Hulu Besut telah ditenggelami banjir sedalam 0.3 meter.

Bagaimanapun, beliau berkata, persiapan awal telah dibuat dengan memindahkan kelengkapan penugasan kedua-dua premis itu ke tempat selamat bagi membolehkan operasi berjalan seperti biasa. – KOSMO! ONLINE.

Banjir: Kuala Nerus daerah baharu terjejas, 15,748 mangsa seluruh Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kuala Nerus menjadi daerah terbaharu terjejas banjir gelombang pertama musim tengkujuh yang melanda Terengganu sejak minggu lalu.

Ia menjadikan Kuala Terenggaanu satu-satu daerah yang masih belum lagi ditenggelami banjir di negeri ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, mangsa banjir di negeri ini terus melonjak kepada 15,748 orang daripada 4,531 keluarga yang kini berlindung di 199 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah terlibat.

“Besut kekal daerah paling terjejas dengan 6,348 mangsa daripada 1,702 keluarga berada di 77 PPS.

“Seramai 3,732 mangsa daripada 1,072 keluarga pula berada di 40 PPS di Setiu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, sebanyak 46 PPS yang menempatkan 3,351 mangsa daripada 1,103 keluarga dibuka di Hulu Terengganu.

Beliau berkata, Kemaman mempunyai 1,432 mangsa daripada 400 keluarga yang kini berlindung di 18 PPS.

“Seramai 505 mangsa daripada 153 keluarga pula berada di 10 PPS di Dungun.

“Sebanyak tujuh PPS beroperasi di Marang dengan 342 mangsa daripada 93 keluarga ditempatkan,” katanya.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kuala Nerus pula mempunyai 28 mangsa daripada lapan keluarga yang berada di PPS Dewan Wakaf Catur Batu Rakit. – KOSMO! ONLINE

Mangsa banjir Terengganu melonjak 20,911 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu terus melonjak kepada 20,911 orang daripada 5,916 keluarga di tujuh daerah di negeri ini.

Mereka yang terdiri daripada 5,916 keluarga kini berlindung di 232 pusat pemindahan sementara (PPS) di semua daerah di negeri ini kecuali Kuala Terengganu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Besut mempunyai 9,338 mangsa daripada 2,481 keluarga di 96 PPS.

“Seramai 4,333 mangsa daripada 1,389 keluarga pula berada di 48 PPS di Hulu Terengganu. Sebanyak 45 PPS yang menempatkan 4,255 mangsa daripada 1,197 keluarga dibuka di Setiu,” katanya di sini, hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kemaman mempunyai 1,534 mangsa daripada 451 keluarga di 19 PPS.

Tambah beliau, seramai 709 mangsa daripada 207 keluarga pula berada di 14 PPS di Dungun.

“Sebanyak sembilan PPS beroperasi di Marang dengan 668 mangsa daripada 173 keluarga masih berlindung di dalamnya.

“Kuala Nerus pula mempunyai 74 mangsa daripada 18 keluarga yang berada di PPS Dewan Wakaf Catur Batu Rakit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Solat Jumaat Kampung Tanah Lot batal kerana banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Solat Jumaat di Masjid Kampung Tanah Lot, Bukit Tadok, di sini terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan solat zuhur berikutan kekurangan jemaah ekoran laluan masuk ke rumah ibadat itu ditenggelami banjir sedalam 0.5 meter, hari ini.

Bilal masjid itu, Mohd. Zulkifli Harun, berkata, solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan ekoran kehadiran hanya 30 jemaah.

“Kebanyakan jemaah hadir merupakan penduduk Kampung Tanah Lot yang terpaksa meredah banjir dengan menaiki sampan.

“Penduduk Kampung Paloh Nyior dan Kampung Pelam berdekatan yang juga kariah masjid ini pula terperangkap dalam banjir yang lebih besar di perkampungan masing-masing,” katanya kepada Kosmo!, di sini hari ini.

Mohd. Zulkifli berkata, pengurusan masjid memutuskan untuk membatalkan solat Jumaat hari ini dan menggantikannya dengan solat zuhur.

Beliau berkata, Kampung Tanah Lot sudah biasa dilanda banjir pada musim tengkujuh.

“Pada musim tengkujuh lalu awal tahun ini, perkampungan ini ditenggelami banjir dalam dua episod berbeza. Banjir kali ini lebih besar hingga memaksa sebahagian penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Piala Malaysia: Terengganu FC melangkah ke suku akhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Biarpun sekadar seri 0-0, Terengganu FC (TFC) tetap melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengatasi Melaka FC dengan agregat 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Naib juara Piala Malaysia musim lalu itu bakal berhadapan dengan Negeri Sembilan bagi aksi seterusnya selepas ini.

Rentak permainan kedua-dua pasukan agak terencat ekoran keadaan padang yang basah dan lecak akibat hujan lebat sepanjang tempoh 90 minit permainan.

Melaka bermula garang untuk mencari gol bagi mendekatkan agrerat namun percubaan penyerang, Abdul Azim Rahim tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Rahadiazli Rahalim pada minit keempat.

TFC yang tersentak cuba kembali menyusun serangan menerusi trio Safawi Rasid, Akhyar Rasid dan pemain import, Nelson Wilfredo Bonnilla namun kebanyakannya dibantutkan oleh struktur padang.

Pemain pertahanan skuad Sang Penyu, Muhammad Safwan Mazlan hampir memecah kebuntuan namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gawang Negeri Sembilan, Ameerul Eqhwan Mohd. Fauzi pada minit ke-34.

Percubaan Safawi pada minit ke-43, 48 dan 53 juga gagal memecah kebuntuan menerjah gawang skuad Sang Kancil.

Tandukan Bonilla pada minit 56 dan 62 turut berjaya dinafikan Ameerul Eqhwan yang bertindak cemerlang. – KOSMO! ONLINE

35,124 mangsa banjir Terengganu, Kuala Terengganu daerah baharu terjejas

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir di Terengganu terus memburuk dengan mangsa terjejas meningkat mendadak kepada 35,124 orang melibatkan semua lapan daerah di negeri ini.

Kuala Terengganu menjadi daerah terbaharu terkesan banjir dengan empat pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka secara berperingkat mulai malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, kesemua mangsa itu terdiri daripada 9,688 keluarga berlindung di 328 PPS di seluruh negeri ini.

“Besut kekal daerah paling terjejas dengan 13,930 mangsa daripada 3,683 keluarga berada di 117 PPS.

“Seramai 5,950 mangsa daripada 1,621 keluarga pula berada di 53 PPS di Setiu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, sebanyak 63 PPS yang menempatkan 5,942 mangsa daripada 1, 839 keluarga dibuka di Hulu Terengganu.

Beliau berkata, Kemaman mempunyai 3,701 mangsa daripada 1,030 keluarga yang masih berada 33 PPS.

“Seramai 3,492 mangsa daripada 952 keluarga berada di 44 PPS di Dungun.

“Sebanyak sembilan PPS yang mempunyai 679 mangsa daripada 179 keluarga beroperasi di Marang,” katanya.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kuala Nerus mempunyai 561 mangsa daripada 154 keluarga yang berada di lima PPS.

Tambah beliau, seramai 869 mangsa daripada 230 keluarga di Kuala Terengganu terjejas banjir dan mula berpindah ke empat PPS. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, December 3, 2024

Ketua keluarga ke PPS terima bantuan RM1,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Semua keluarga yang terjejas banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) kali ini akan menerima dana banjir RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dana banjir terbabit sudah mula diagihkan kepada ketua isi keluarga (KIR) mulai kelmarin.

“Kita telah mempunyai senarai mangsa-mangsa banjir yang telah dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara).

“Mulai semalam (kelmarin), kita telah mengagihkan bantuan RM1, 000 untuk setiap ketua isi rumah (KIR). Ini kita akan lakukan secara berfasa,” katanya selepas meninjau situasi banjir di daerah ini hari ini.

Beliau menyantuni mangsa-mangsa banjir yang sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Nibung di sini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah memperuntukkan dana secukupnya untuk pemberian bantuan kepada mangsa banjir terlibat.

Beliau juga percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meluluskan pertambahan sekiranya KIR terlibat banjir melebihi jangkaan.

“Harap pengagihan bantuan tunai dapat diatur gerak sepenuhya dalam kalangan KIR berpindah ke PPS,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Mangsa banjir Terengganu terus melonjak 43,218 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu terus melonjak kepada 43,218 orang di semua lapan daerah di negeri ini.

Mereka yang terdiri daripada 11,679 keluarga berada di 305 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Besut kekal daerah paling terjejas dengan mangsa dipindahkan di 121 PPS sudah mencecah 16,084 orang daripada 4,301 keluarga.

“Seramai 7,080 mangsa daripada 2,223 keluarga pula berada di 59 PPS di Hulu Terengganu.

“Sebanyak 39 PPS yang menempatkan 6,470 mangsa daripada 1,627 keluarga beroperasi di Dungun,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Setiu mempunyai 6,332 mangsa daripada 1,665 keluarga di 48 PPS.

Tambah beliau, seramai 2,940 mangsa daripada 722 keluarga berada di sembilan PPS di Kuala Terengganu.

“Sebanyak 11 PPS dibuka di Kuala Nerus dengan 2,307 mangsa daripada 602 keluarga berlindung di dalamnya.

“Kemaman pula masih mempunyai 1,230 mangsa daripada 340 keluarga yang berada di 10 PPS,” katanya.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 775 mangsa daripada 199 keluarga berada di lapan PPS di Marang. – KOSMO! ONLINE

Terengganu, Kelantan terima peruntukan banjir tambahan RM25 juta

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan tambahan keseluruhan RM50 juta buat Terengganu dan Kelantan yang kini sedang terjejas teruk dengan banjir gelombang pertama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan segera masing-masing RM25 juta buat kedua-dua negeri itu ekoran peningkatan mangsa terjejas sudah melebihi jangkaan diunjurkan sebelum ini.

Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM50 masing-masing kepada Terengganu dan Kelantan bagi pengurusan bencana banjir pada musim tengkujuh.

“Bantuan penuh untuk Kelantan dan Terengganu RM50 juta telah disalurkan, kemudian saya dapat maklumat lagi terdapat keperluan-keperluan mutakhir.

“Kita sudah lulus tambah kerana kita nampak keperluan (mangsa) terkesan itu jauh lebih jangkaan awal. Kita tambah lagi RM25 juta, ” katanya selepas meninjau situasi banjir di daerah ini hari ini.

Beliau menyantuni mangsa-mangsa banjir yang sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan dan SK Mangkok di sini.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan juga sedang memantau keperluan peruntukan tambahan di negeri-negeri lain yang turut terjejas banjir pada masa ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan segera yang akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri tersebut akan digunakan untuk pengurusan banjir termasuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya dan pembentung. – KOSMO! ONLINE

Tiada keperluan isytihar darurat banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana walaupun mangsa banjir di seluruh negara setakat ini sudah mencecah lebih 150,000 orang.

Beliau berkata, pengurusan banjir di 10 negeri terjejas berkenaan telah ditangani dengan baik oleh agensi kerajaan terlibat.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak memikirkan keperluan (darurat bencana) itu.

“Seluruh jentera keselamatan (seperti) Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seluruh jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah nampak menangani masalah dengan baik,” katanya selepas meninjau situasi banjir di daerah ini hari ini.

Beliau menyantuni mangsa-mangsa banjir yang sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan dan SK Mangkok di sini.

Episod luruan hujan tahap bahaya yang melanda negara khususnya Pantai Timur sejak 26 November lalu telah menjejaskan 10 negeri.

Banjir gelombang pertama terbabit diburukkan lagi oleh fenomena air pasang besar yang melanda perairan negara beberapa hari lalu.

Kelantan dan Terengganu paling teruk terjejas dengan mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini mencecah melebihi 137,000 orang.

Selain itu dua, negeri Pantai Timur tersebut, lapan negeri lain yang turut terjejas banjir ialah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang. – KOSMO! ONLINE

SPM dalam banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA, NORLIDA AKMAR IDROS dan JAMLIAH ABDULLAH

PETALING JAYA – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir di tiga buah negeri tetap bersedia untuk menduduki peperiksaan tersebut meskipun berdepan kesukaran dan ketidakstabilan emosi ketika menetap di pusat pemindahan sementara (PPS). 

Kelam kabut, alat tulis dan buku rujukan hilang selain me­ngulang kaji dalam keadaan bi­sing tidak mematahkan sema­ngat mereka untuk menduduki SPM yang bermula hari ini. 

Di Setiu, Muhammad Aidil Adwa Irfan Zulkifli, 17, berkata, dia mengulang kaji pelajaran di PPS SK Telaga Papan menggunakan telefon

14,000 penjawat awam Terengganu terima bonus RM500

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seramai 14,000 penjawat awam Terengganu bakal menerima bonus sebanyak RM500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam negeri tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan RM7.4 juta.

“Seperti Menteri Besar (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) telah sebut. ganjaran untuk penjawat awam Terengganu ini, saya setuju luluskan untuk bulan ini (sebanyak) RM500.

“Seperti Menteri Besar (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) telah sebut. ganjaran untuk penjawat awam Terengganu ini, saya setuju luluskan untuk bulan ini (sebanyak) RM500.

“RM7.4 juta (peruntukan pembayaran bonus) ini asing daripada peruntukan menangani banjir,” katanya selepas meninjau situasi banjir di daerah ini hari ini.

Beliau menyantuni mangsa-mangsa banjir yang sedang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan dan SK Mangkok di sini.

Anwar berkata, beliau terharu melihat kesungguhan penjawat awam negeri ini berkhidmat tanpa lelah sepanjang musim banjir ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penjawat awam Terengganu wajar menerima ganjaran RM500 terbabit bagi terus fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Terdahulu, Ahmad Samsuri sewaktu Sidang Dewan Undangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini memberitahu kerajaan negeri telah memohon permohonan bonus kepada 14,000 penjawat awam daripada Kementerian Kewangan. – KOSMO! ONLINE

Monday, December 2, 2024

Banjir: Mangsa di Terengganu menurun 39,865 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hujan yang mulai reda pagi ini membolehkan situasi banjir di Terengganu memulih sedikit dengan mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 39,865 orang.

Mereka yang terdiri daripada 10,703 keluarga masih berada di 271 PPS di seluruh negeri ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Besut kekal paling terjejas dengan 10,465 mangsa daripada 2,851 keluarga berada di 92 PPS.

“Seramai 9,233 mangsa daripada 2,301 keluarga pula berada di 44 PPS di Dungun.

“Sebanyak 56 PPS yang menempatkan 6,852 mangsa daripada 2,104 keluarga dibuka di Hulu Terengganu,” katanya.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kuala Nerus mempunyai 4,683 mangsa daripada 1,194 keluarga yang masih berlindung di 14 PPS.

Beliau berkata, seramai 4,115 mangsa daripada 1,039 keluarga berada di 12 PPS di Kuala Terengganu.

“Sebanyak 33 PPS beroperasi di Setiu dengan 2,454 mangsa daripada 675 keluarga ditempatkan di dalamnya. Kemaman pula mempunyai 1,102 mangsa daripada 288 keluarga di 10 PPS,” ujarnya.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 961 mangsa daripada 251 keluarga pula berada di 10 PPS di Marang. – KOSMO! ONLINE

18 RAMD Para bantu bersih sekolah banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Para melaksanakan program Jiwa Murni hari ini membantu membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tadok yang sebelum ini ditenggelami banjir sejak minggu lalu.

Pegawai Memerintah 18 RAMD (Para), Leftenan Kolonel Mohd. Ashafiq Abdul Aziz berkata, operasi pembersihan premis sekolah itu melibatkan 27 pegawai dan aggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Alhamdulillah banjir yang melanda Terengganu termasuk daerah ini mulai surut hari ini.

“Kami mengambil peluang ini untuk membantu penduduk kampung melakukan kerja-kerja pasca banjir termasuk membersihkan SK Bukit Tadok,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Ashafiq berkata, kerja-kerja pembersihan SK Bukit Tadok berkenaan dilakukan secara bergotong-royong bersama pengurusan sekolah dan ibubapa murid sekolah terlibat.

Tambah beliau, premis sekolah itu berjaya dibersihkan dalam tempoh empat jam sehingga pukul 1 tengah hari.

“Sebelum ini, 18 RAMD (Para) juga aktif dalam kerja-kerja penyelamatan dan pemindahan mangsa banjir sejak bermulanya gelombang pertama pada kira-kira dua minggu lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE