Translate

Wednesday, October 6, 2021

Takwim persekolahan tahun depan kekal Mac 2022

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Takwim sesi persekolahan tahun ini kekal dilanjutkan sehingga Februari tahun depan seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan memulakan takwim sesi persekolahan bagi tahun 2022 mulai bulan Mac tahun hadapan dilakukan selepas melakukan penelitian mendalam.

“Perkara ini (melanjutkan takwim persekolahan 2021) telah dibincangkan dengan pelbagai pihak termasuk guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pengetua, guru besar, pakar (akademik) dan persatuan perguruan.

“Ia bagi memastikan anak-anak kita betul-betul bersedia sebelum mereka naik ke kelas berikutnya,” katanya ketika meninjau hari pertama persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun di sini hari ini.

Sebelum ini, keputusan Kementerian Pendidikan melanjutkan takwim persekolahan 2021 sehingga Februari tahun depan kurang disenangi segelintir pihak termasuk ahli akademik.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Selangor (Unisel), Prof. Madya Dr. K. Gunasegaran berpendapat anjakan tarikh permulaan persekolahan itu tidak wajar dilakukan secara tergesa-gesa dengan keadaan penularan Covid-19 masih tidak menentu pada ketika ini.

Radzi berkata, pendekatan melanjutkan takwim persekolahan 2021 tersebut juga bertujuan memastikan murid dan pelajar terbabit tidak ketinggalan memandangkan sebahagian besar pengajaran pada tahun ini dilakukan secara secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment