Translate

Tuesday, October 26, 2021

‘Sibuk bercuti, tak ingat balik kampung’


PETALING JAYA – Di sebalik perasaan teruja dan kegembiraan orang ramai untuk pulang ke kampung susulan kebenaran rentas negeri yang diberikan kerajaan, masih ada segelintir ibu bapa yang terpaksa memendam rindu apabila anak-anak mereka tidak pulang ke kampung. 

Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan anak-anak yang kebanyakan menetap di Lembah Klang memilih untuk meng­utamakan percutian ke­luarga masing-masing berban­ding untuk menjenguk orang tua di kampung. 

Selain itu, ada juga yang memberi alasan kesempitan hidup akibat ketiadaan wang selain terlalu sibuk bekerja sebagai punca mereka masih tidak bekelapangan untuk bertemu ibu dan bapa.

Di Tapah, Perak, kerinduan seorang warga emas berusia 67 tahun dikenali sebagai Aminah (bukan nama sebenar) untuk bertemu lima anaknya selepas mereka terpisah sejak tahun lalu terpaksa dilupakan seketika.

Berkongsi kisah sedih itu, Aminah mengakui, anak-anaknya belum berkesempatan untuk pulang ke kampung kerana mahu bercuti bersama keluarga masing-masing.

"Saya ingatkan anak-anak akan pulang ke kampung, rupa nya mereka lebih memilih untuk bercuti, katanya kepada Kosmo!. Wanita itu yang kini tinggal bersendirian berkata, dia amat merindui anak-anak dan cucu-cucunya kerana sudah hampir dua tahun tidak berjumpa.

"Kelmarin, salah seorang anak saya yang tinggal di Kuala Lumpur ada pergi ke Cameron Highlands untuk bercuti tetapi tak pula singgah ke kampung.

"Saya tunggu juga, mungkin mereka nak singgah ketika dalam perjalanan pulang, tetapi mereka terus pulang ke Kuala Lumpur. Malah, menghubungi saya pun tidak ada," katanya dalam nada kecewa.

 Bagaimanapun, menurut Aminah, dia tetap berprasangka baik dan menganggap anak-anaknya tidak pulang ke kampung kerana takut membawa bersama virus Covid-19.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang wanita warga emas yang mahu dikenali sebagai Mak Wan, 70, mengakui berkecil hati apabila masih belum dikunjungi anaknya walaupun sudah sepuluh hari kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan.

Ibu tunggal itu memberitahu, anak lelaki tunggalnya berusia 45 tahun yang menetap di Selangor itu pernah memintanya bersabar dan memberitahu hanya bercadang pulang menjenguknya di kampung pada bulan depan.

"Sejujurnya, saya sangat berkecil hati, lebih-lebih lagi selepas mengetahui dia baru sahaja membawa isteri dan dua anak nya bercuti ke Pulau Langkawi.

"Saya jadi pelik kerana dia boleh ambil cuti untuk ke Langkawi, tetapi tidak boleh ziarah ibu sendiri di kampung," katanya

Mak Wan berkata, dia sebenarnya tidak memarahi anak dan menantunya, tetapi hanya ingin meluahkan rasa rindu terutama kepada cucu-cucu yang sudah lama tidak bertemu.

"Saya mampunyai anak lain yang tinggi di sini dan mereka kerap menjenguk saya tetapi sebagai seorang ibu, naluri untuk melihat kesemua anak-anak berkumpul memang sangat-sangat dinantikan selagi hayat masih ada," tambahnya.

Di Shah Alam, Selangor, seorang wanita warga emas dikenali sebagai Siah, 52, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya yang berusia 30 tahun dan bekerja di Pulau Pinang adalah pada tahun 2018 iaitu sebelum adanya Covid-19.

"Sejak itu, kami hanya berko munikasi menerusi telefon bimbit dan dia sentiasa berjanji mahu pulang ke Shah Alam sekiranya berkelapangan.

"Bagaimanapun, ia sekadar janji kosong kerana walaupun kebenaran rentas negeri telah di beri, dia masih belum balik berjumpa saya," katanya.

Menurut Siah, dia kini terpaksa tinggal bersendirian dan menghabiskan usia senjanya selepas kematian suami akibat masalah buah pinggang 11 tahun lalu

"Apabila dihubungi, dia memberitahu terlalu sibuk bekerja dan tiada cuti untuk pulang ke kampung.

"Selain itu, dia memberi alasan bimbang dengan keadaan Covid-19 biarpun saya telah luahkan perasaan rindu sebagai seorang ibu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment