Translate

Saturday, October 23, 2021

Polis serbu mesyuarat pertubuhan tidak berdaftar, 52 ditahan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 52 orang termasuk enam wanita dipercayai anggota sebuah pertubuhan haram ditahan dalam serbuan polis di sebuah hotel di bandar raya ini pada kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 9 malam itu, kesemua suspek yang berusia 16 dan 52 tahun termasuk tiga ketua pertubuhan yang didakwa bergelar Ayahanda dipercayai sedang melakukan mesyuarat tergempar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd.Mokhtar berkata, pemeriksaan mendapati mereka menganggotai sebuah pertubuhan yang dipercayai tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Siasatan awal mendapati kebanyakan anggota pertubuhan itu terdiri daripada golongan penarik kenderaan.

“Pertubuhan tersebut diketuai tiga lelaki berusia 30 hingga 35 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau kekerasan dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Marzukhi berkata, serbuan sama turut merampas beberapa barangan disyaki milik pertubuhan tidak berdaftar berkenaan.

Tambah beliau, ujian urin juga mendapati enam daripada kesemua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

“Seramai 36 orang daripada keseluruhan tangkapan telah ditahan reman selama empat hari sehingga Selasa ini.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment