Translate

Tuesday, October 5, 2021

Mesin pengeluaran beras percuma automatik di Masjid Ajil

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Sekretariat Bank Makanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil inisiatif mewujudkan mesin automatik pengeluaran beras di Masjid Ajil di sini hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, penyediaan mesin automatik itu bertujuan meringankan golongan kurang berkemampuan di sekitar pekan itu untuk mendapatkan keperluan asas berkenaan secara percuma.

“Mesin automatik beras ni boleh mengisi 500 kilogram (kg) beras pada satu-satu masa. Kita dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan syarikat swasta, Kumpulan Legasi Z memperuntukkan satu tan beras pada setiap bulan.

“Keluarga memerlukan boleh mengambil beras di dalam mesin ini pada bila-bila dengan kapasiti sehingga lima kg bagi setiap pengeluaran,” katanya selepas merasmikan mesin automatik pengeluaran beras tersebut di pekarangan Masjid Ajil di sini hari ini.

Rosol berkata, penyediaan mesin automatik beras tersebut merupakan kesinambungan kepada inisiatif program Gerobok Prihatin yang disediakan di 93 masjid di sekitar daerah berkenaan sejak bulan Mei lalu.

Tambah beliau, ia merupakan keprihatinan terhadap nasib golongan yang terjejas berikutan penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.

“Walaupun negara kini dalam fasa pemulihan, masih ramai yang terkesan dengan krisis ekonomi sehingga hilang pekerjaan dan mata pencarian.

“Semoga mesin automatik pengeluaran beras ini dapat membantu. Orang yang berkemampuan juga boleh menyumbang tambahan beras untuk dimasukkan di dalam mesin itu,” katanya. – K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment