Translate

Friday, October 22, 2021

Kru produksi filem maut, tiga cedera parah

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang kru produksi filem maut manakala tiga rakan sekerjanya cedera parah setelah kenderaan jenis Perodua Alza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Kota Bahru – Kuala Terengganu berhampiran Kampung Saujana di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.15 tengah hari itu, Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 27, yang memandu kenderaan pelbagai guna itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, dia lagi mangsa iaitu Kamarul Anuar Mohamad Nasir, 39, dan Amir Sabil Suhaimi, 23, yang masing-masing berada di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang mengalami kecederaan pada bahagian leher.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu Nur Azizi Nazril Abd. Aziz, 26, pula putus tangan kiri.

“Kesemua mangsa yang menaiki kenderaan Perodua Alza dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kota Bahru, Kelantan.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar tunggul kayu di tepi jalan berhampiran simpang tiga Kampung Saujana,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu terpaksa dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu.

Beliau berkata, mayat Muhammad Nurshamril telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment