Translate

Thursday, October 28, 2021

Terengganu tidak mohon gelembung pelancongan antarabangsa

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu tidak berhasrat untuk memohon gelembung pelancongan antarabangsa pada masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun Terengganu beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai hari ini namun ia dijangkakan tidak akan memberi kesan signifikan terhadap kedatangan pelancong asing.

“Kita terima hakikat sebahagian besar pelancong asing (yang berkunjung ke Terengganu) mahu ke pulau (peranginan) namun ia tidak sesuai buat masa ini kerana musim tengkujuh (hampir tiba).

“Oleh itu kita tidak minta (gelembung pelancongan antabangsa) kepada kerajaan Pusat, lagi pun kita yakin apabila pulau (peranginan) dibuka semula pada bulan Februari (tahun depan) nanti, pelancong asing sudah dibenarkan,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Festival Kebudayaan Terengganu melibatkan lima destinasi pelancongan di negeri ini.

Ariffin berkata, sepanjang musim tengkujuh ini, tumpuan promosi diberikan kepada produk pelancongan yang terdapat di daratan seperti Tasik Kenyir, Muzium Terengganu, Kampung Budaya Terengganu dan Taman Tamadun Islam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Jabatan Pelancongan Terengganu dengan kerjasama pemain industri telah memperkenal 20 pakej pelancongan meliputi destinasi-destinasi menarik di seluruh negeri tersebut.

Beliau berkata, pakej tiga hari dua malam tersebut merupakan cadangan kepada pelancong untuk menerokai keindahan di negeri ini dan ia ditawarkan pada kadar antara RM355 hingga RM829. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment