Translate

Sunday, October 24, 2021

Adtec perkenal program Kimpalan Dalam Air

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) memperkenalkan program perintis Kimpalan Dalam Air bagi melahirkan lebih ramai juru kimpal bawah air dalam kalangan warga tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, program dengan kerjasama rakan strategik, Hamdan Abdullah Sdn. Bhd. itu bertujuan untuk mengatasi kekurangan tenaga mahir tempatan dalam industri minyak gas.

“Kerjaya (jurukimpal bawah air) ini mendapat permintaan tinggi daripada industri (sehingga) kekosongan terpaksa diisi oleh tenaga mahir warga asing.

“Program latihan kimpalan bawah air ini mampu melahirkan pekerja mahir berpendapatan tinggi sehingga enam angka (ratusan ribu ringgit) setahun,” katanya di Adtec Kemaman di sini hari ini.

Awang berkata, 10 peserta terbabit merupakan lulusan Teknologi Kimpalan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang telah melepasi kriteria ketat ditetapkan daripada 160 permohonan diterima sebelum ini.

Tambah beliau, kesemua peserta program akan menjalani latihan selama 10 bulan dengan empat modul iaitu Selaman Air Terbuka, Selaman Komersial, Kimpalan Basah dan Persiapan Industri.

“Kos pengajian sebanyak RM46,000 bagi setiap peserta dibiayai sepenuhnya oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK),” katanya. -K! ONLINE

No comments:

Post a Comment