HULU TERENGGANU – Biarpun berdepan masalah kesihatan, seorang suri rumah tetap menggagahkan diri berbakti menjaga ibu bapanya yang semakin uzur.
Rohani Tarzan, 51, berkata, penyakit saraf otak yang dihidapi ibunya, Sapiah Mohd. Boto’, 77, semakin kronik apabila dia hanya mampu terlantar atas tilam sejak lebih dua bulan lalu.
“Ibu menderita penyakit itu sejak tujuh tahun lalu. Mulanya dia menjadi pelupa dan nyanyuk, namun kini saraf otak semakin membengkak menyebabkan tidak mampu bangun.
“Ayah, Tarzan Abd. Rahman, 83, terlalu uzur dengan pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah usus, tekanan darah tinggi dan rabun kronik,” katanya.
Rohani berkata, dia juga menghidap penyakit saraf berkaitan tulang belakang yang dideritai sejak 10 tahun lalu.
Terang ibu kepada empat anak itu, penyakit tersebut akan menyebabkan sendi-sendi kaki dan tangan membengkak sekiranya melakukan aktiviti fizikal terlalu berat.
“Tugas menguruskan ibu bapa yang uzur sebenarnya agak berat dan kakak, Norlida, 58, yang menghidap penyakit buah pinggang akan membantu menguruskan ibu bapa jika saya kurang sihat,” katanya.
Rohani berkata, mereka tidak mampu menyediakan peralatan kesihatan seperti katil boleh laras, kerusi roda dan alat bantu berjalan buat ibu bapanya disebabkan masalah kewangan.
Jelasnya, suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan cuma berpendapatan RM1,500 sebulan sedangkan empat anaknya berusia 10 hingga 18 tahun masih bersekolah.
“Bagi menambah pendapatan, dia bangun seawal pukul 4 pagi untuk membuat kuih dan dihantar ke gerai-gerai berhampiran dengan purata pendapatan RM500 sebulan,” katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Rohani 1150041000119261 (Bank Simpanan Nasional) atau hubungi talian 0129648835.
No comments:
Post a Comment