Translate

Monday, November 7, 2022

PRU15: Jadi calon BN Kuala Nerus, Khairuddin balas emoji senyum

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dipilih menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Barisan Nasional (BN) malam ini, pemilihan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas tersebut merupakan salah seorang daripada dua calon secara terus yang ditampilkan BN pada PRU15.

Pemilihan Mohd. Khairuddin menunjukkan sifat keterbukaan dan perpaduan yang diamalkan BN.

Sebelum ini, Kuala Nerus merupakan salah satu daripada tujuh kerusi Parlimen yang tidak diumumkan calonnya oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada kelmarin.

Sementara itu, Mohd. Khairuddin yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp enggan mengulas pemilihannya sebagai calon BN Parlimen Kuala Nerus sebaliknya hanya membalas dengan emoji senyum.

Mohd. Khairuddin merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus selama dua penggal sejak tahun 2013.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi tersebut memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus dengan majoriti 8,447 undi.

Beliau kemudiannya mengisytiharkan berhenti daripada Pas pada awal tahun ini berikutan pertikaian dengan kepimpinan parti itu berhubung Muafakat Nasional (MN). – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment