Translate

Monday, November 7, 2022

Peragut tegar Kuala Terengganu ditahan di Sungai Buloh

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tindakan licik seorang lelaki melarikan diri sejauh lebih 450 kilometer ke Sungai Buloh, Selangor selepas disyaki aktif dalam banyak kes ragut di bandar raya ini gagal apabila dia berjaya ditahan polis pada minggu lalu.

Suspek yang berasal dari Chendering di sini tersebut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Buloh pada pukul 4 petang, 27 Oktober lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal percaya lelaki tersebut terlibat dalam sekurang-kurangnya sembilan kes ragut di sekitar bandar raya ini.

“Dia disyaki melakukan aktiviti meragut itu pada sekitar 8 Julai hingga 23 September lalu.

“Jumlah kerugian keseluruhan dialami mangsa-mangsanya sepanjang tempoh itu dianggarkan RM11,000,” katanya di sini hari ini.

Rohaimi berkata, modus operandi suspek ialah menyasar mangsa dalam kalangan wanita bermotosikal seorang diri dan meletakkan barangan berharga di dalam raga motosikal.

Tambah beliau, serbuan polis juga berjaya merampas dua buah telefon bimbit dan dua keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek memiliki 15 rekod jenayah lampau iaitu sembilan berkaitan ragut dan selebihnya penyalahgunaan dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

No comments:

Post a Comment