Translate

Sunday, November 6, 2022

PRU15: Pas pecat Che Abdullah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Penyandang kerusi Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dipecat serta-merta daripada Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Che Abdullah yang juga bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan dikenakan tindakan disiplin kerana menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Tumpat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dia (Che Abdullah) bukan pemimpin Pas lagi, dia telah dipecat dan automatik keluar dari Pas. Ikutlah dia hendak bertanding parti mana.

“Kita telah panggil dan beri nasihat (namun Che Abdullah) ada pandangan sendiri. Tidak mahu terima keputusan parti,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Rusila di sini malam tadi.

Terdahulu Che Abdullah yang digugurkan Pas sebagai calon memilih untuk terus bertanding mempertahankan kerusi Parlimen tersebut atas tiket BN pada PRU15 ini.

Pada pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Che Abdullah yang bertanding atas tiket Pas memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti 17,500 undi.

Abdul Hadi berkata, beliau percaya tindakan Che Abdullah menjadi calon BN itu tidak akan menggugat peluang Pas untuk terus mempertahankan Parlimen Tumpat.

Jelas Timbalan Pengerusi PN berkenaan, setakat ini tiada mana-mana cawangan Pas di kawasan Tumpat yang terjejas disebabkan Che Abdullah.

“Pas tidak tergugat. Apa lagi kita dapat sokongan daripada (pemimpin) UMNO yang baru datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment